‘Sedar diri, belum layak berduet dengan Siti Nurhaliza’

DIA tidak memerlukan tempoh lama untuk menyinar. Namanya adalah ‘irama’ yang asyik menjajah halwa telinga khalayak. Dia berkarya dengan melodi, menakluk gelanggang muzik dengan suara hati sendiri.

Dari satu karya ke satu karya, langkahnya tidak lagi sekadar bertatih tetapi melangkah yakin, mengumpul perhatian daripada pendengar yang datang daripada pelbagai latar generasi.

Di sebalik sinaran tersebut, pernah ada waktu gelap yang hampir memadamkan harapan apabila konsert sulungnya terpaksa dibatalkan.

Impian tersebut runtuh berkecai di tengah jalan, namun Aisha tidak memilih untuk berhenti dan meratapi kegagalan.

Dari luka itulah lahir kekuatan menerusi karya-karya baharu termasuk Jodoh Lebaran sehingga mencetuskan fenomena luar biasa, sekali gus meletakkan semula penyanyi itu dalam liga yang tersendiri.

Teruja dengan penangan luar biasa lagu tersebut, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu berharap agar usahanya membikin Jodoh Lebaran akan diingati sampai bila-bila dan mampu menjadi sebuah naskhah malar segar.

“Masya-Allah, saya boleh katakan memang lagu ini merupakan fenomena yang tak jangka dan alhamdulillah dengan apa pun yang terjadi sekarang, rezeki saya dibuka lebih luas lagi.

Saya sangat gembira juga sebab lagu ini diterima baik seluruh generasi. Bukan sahaja Alpha, Gen Z dan baby boomers.

“Saya tengok dalam media sosial semua seronok dan semoga berkekalan hingga bila-bila setiap kali raya dan menjadi ‘evergreen’ (malar segar),” katanya kepada HibGlam.

MENCIPTA ledakan lagu raya dengan Ketipak Ketipung Raya (2025) dan Jodoh Lebaran (2026), Aisha bahkan pernah menghasilkan lagu untuk Biduanita Negara, Datuk Seri Nurhaliza, Raya Nak Ke Mana (2025).

Berkongsi lanjut, Aisha teruja apabila fenomena tersebut disusuli dengan penghormatan tertinggi untuk membuat persembahan di hadapan kerabat diraja.

“Saya rasa di mana julung kalinya dipanggil membuat persembahan di Istana Negara dengan lagu sendiri iaitu Jodoh Lebaran.

Ketika itu juga saya dapat bersua muka dengan Tuanku Permaisuri Agong, baginda berkata bahawa lagu Jodoh Lebaran memang dalam senarai kesukaan baginda.

“Baginda juga yang membuat permintaan untuk saya berada di situ. Bagi saya, momen ini merupakan penghormatan tertinggi,” luahnya teruja.

Siti Nurhaliza

Selain itu, penyanyi berusia 26 tahun itu turut berkongsi detik manis apabila impiannya untuk berada sebaris di atas pentas dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, akhirnya dimakbulkan Tuhan.

Konsert bersama Siti Nurhaliza juga merupakan antara pencapaian terbaik. Pada Disember 2024, saya bermanifestasi menyanyikan lagu Nirmala.

“Saya ada hantar hantaran video dan tag Siti nak buat lagu untuk dia dan perkara tersebut terjadi.

“Lama-lama saya ‘manifest’ untuk sepentas dengan dia dan akhirnya Allah mendengar,” jelasnya.

Ditanya mengenai perancangan untuk berduet dengan Siti, pelantun lagu Sutera itu mengakui berasa kerdil untuk memikirkan soal kolaborasi bersama idolanya.

“Memang tiada lagi untuk membuahkan kata-kata (berduet) dengan beliau sebab segan. Saya pun rasa diri saya belum cukup layak lagi walaupun orang kata dah layak.

Kita tahu di mana kita berpijak. Untuk saya yang masih setahun jagung ini, beri saya masa. Perlukan ilmu yang lebih banyak untuk menghasilkan senaskhah lagu bersama beliau.

“Kalau rezeki datang lebih awal dan saya harus belajar lebih awal untuk bersedia,” jelasnya.

Lolos AJL40SA

Bukan sekadar menikmati kemanisan fenomena Jodoh Lebaran, dia turut melonjak kegembiraan apabila bakal bersaing di pentas Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40SA) pada 17 dan 18 April depan menerusi lagu Tak Adil.

“Alhamdulillah, saya percaya sentiasa ada ‘silver lining’ di penghujung jalan. Walaupun pernah melalui beberapa insiden yang pahit dan manis sejak dua tiga tahun lalu, saya nekad untuk go with the flow (teruskan) dengan segala rezeki Allah berikan.

Apabila lagu Tak Adil tercalon ke AJL40SA, saya rasa seperti deja vu, mengingatkan saya kepada titik tolak lagu Sutera pada 2023. Sewaktu Allah berikan kejayaan, Dia juga memberikan jentikan musibah sebagai pengajaran.

“Insya-Allah apabila deja vu ini terjadi, semoga saya lebih berhati-hati ke hadapan walaupun bunyi macam ‘dah banyak Aisha dapat rezeki’,” ujarnya.

Selepas menerima khabar baik tersebut, Aisha dan pasukan mula mengatur strategi untuk Tak Adil lolos ke pentas akhir yang berprestij.

“Sebenarnya pengumuman ini sudah lama kami ketahui, jadi saya sudah bersedia.

Kami sudah tahu ‘peluru’ mana yang perlu dikeluarkan dan mana yang perlu disimpan kalau lagu ini berjaya lolos ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Semuanya sudah ditata rapi. Apa yang paling penting sekarang adalah kesihatan mental dan fizikal saya sendiri untuk terus fokus,” kongsinya.

MARA ke AJL40SA menerusi lagu Tak Adil, Aisha menyifatkan situasi tersebut seolah-olah deja vu. Jika sekali namanya tersenarai sebagai finalis AJL, dia sudah mempersiapkan ‘peluru’ tepat untuk menembak sasarannya.

Sedar kesibukan jadual harian, Aisha tetap positif dan menganggap undangan persembahan sebagai rutin latihan vokal yang sangat berkesan.

Setiap undangan yang diterima adalah peluang yang tidak akan saya tolak. Setiap persembahan pentas yang saya lakukan sekarang adalah ‘padang latihan’ untuk menguji vokal dan daya tahan.

“Pernah saya terima sehingga lima persembahan dalam satu hari dan di situlah tenaga saya benar-benar diuji.

“Saya anggap semua pengalaman ini sebagai latihan persediaan untuk ke separuh akhir AJL nanti,” tuturnya.

Dalam keterujaan Tak Adil, di sisi lain timbul kekecewaan peminat yang masih mengharapkan sinar buat lagu Samudera pada AJL40SA.

Namun, bekas peserta program Big Stage musim keempat itu berharap peminat akan terus memberikan sokongan kepada karya lain agar lebih banyak naskhah bermutu dapat dihasilkan.

“Apa yang saya boleh katakan, rezeki di tangan Tuhan. Allah berkata Tak Adil lebih layak, maka kita galas tanggungjawab itu sebaiknya.

Saya faham buat peminat setiap mengundi Samudera, pasti ada rasa kecewa. Namun, saya harap kita semua dapat terus menyokong kesemua 30 lagu yang bertanding.

“Semoga karya-karya dalam separuh akhir AJL dapat memberi inspirasi kepada anak muda untuk terus menghasilkan lagu,” ujarnya.

Sebelum menggulung bicara, Aisha sempat meluahkan sifat berwaspada yang kini menjadi prinsip dirinya selepas hampir sedekad bergelar anak seni.

“Bagi saya, masih Aisha yang sama. Mungkin lebih matang sedikit, namun saya tidak mahu membandingkan diri yang lama dengan yang sekarang kerana kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan.

Apa yang pasti, misi saya tidak pernah berubah iaitu mengejar minat dalam seni. Jika populariti atau peluang perniagaan datang bersama, itu adalah rezeki.

“Namun sekarang, saya lebih berhati-hati dalam berkawan dan dalam segala aspek kerana pada akhirnya, kita perlu menjaga diri sendiri,” jelasnya.

Dia juga sempat memaklumkan bahawa segala pengalaman pahit manis sebelum ini memberikan banyak pengajaran berguna untuk dia menjadi lebih dewasa pada masa hadapan.

“Tujuh tahun bukan satu tempoh yang kosong. Banyak yang saya belajar terutamanya apabila keluar dari zon selesa.

Kejadian dua tahun lalu benar-benar menguji tetapi kunci utamanya adalah tidak berputus asa. Jika saya menyerah, saya tidak akan berada di tahap sekarang.

“Pengalaman itulah yang mengajar saya erti kematangan, selain ibu dan ayah yang menjadi guru terbaik dalam membentuk diri saya menjadi manusia lebih matang,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok