TIGA bulan menggalas status duda, pelakon Kamal Adli mengimbas detik berada di kamar mahkamah ketika melafazkan cerai terhadap bekas isteri, Uqasha Senrose.
Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, berkata, dia menangis teresak-esak disebabkan tidak sanggup melafazkan talak sehingga terpaksa dua kali mengulangi ayat itu.
“Semasa lafaz (cerai), saya menangis macam budak-budak. Rasa malu dekat hakim. Dalam tu (mahkamah) ada kami sahaja, tiada orang lain.
Masa nak kena sebut (cerai), saya rasa ‘pecah’. Bila dapat kertas yang perlu saya lafazkan, saya ingatkan saya okey sampai kena ulang dua kali sebab tak jelas, menangis pula macam budak-budak.
“Sakit sangat sampai tak boleh nak pandang orang. Ayat yang membuatkan saya pecah ‘Dengan ini saya Ahmad Kamal menceraikan’,” katanya dalam wawancara bersama Nona.
Pada masa sama, Kamal mengakui berasa rendah diri serta trauma andai situasi yang menimpa perkahwinannya itu membuatkan dirinya tidak diterima.
Takut boleh ke orang terima saya, terima keluarga saya. Ada ke orang boleh terima. Saya jadi trauma sendiri. Tak ada pun orang betul-betul mahukan saya.
“Dah masuk dalam keluarga saya pula, orang tak okey. Saya tak tahu (tapi) saya tak mahu sakitkan hati orang,” ujarnya.
Menjengah ruangan komen, ramai netizen berkongsi perasaan sayu selepas menonton video yang dikongsikan menerusi platform TikTok itu.
“Semangat bro, setelah hujan pasti ada sinar pelangi muncul. Insya-Allah,” tulis seorang peminat.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu.
Uqasha memfailkan permohonan perceraian terhadap aktor terbabit pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 itu dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM
