MENCIPTA sejarah peribadi, pengacara Hawa Rizwana berjaya menakluk Via Ferrata tertinggi di dunia iaitu laluan ekstrem menuruni dinding curam di Gunung Kinabalu.
Cabaran yang ditempuh pemilik nama lengkap Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 30, itu bukan mudah apabila pendaki perlu melalui laluan menggunakan tali, tangga dan jambatan gantung.
Menerusi perkongsian video dalam Instagram, pengacara program MeleTOP itu berkongsi beberapa klip yang memaparkan keberaniannya melintasi jambatan gantung dan palang besi pada ketinggian antara 3,520 meter hingga 3,776 meter dari aras laut.
Bagaimanapun, usaha HibGlam untuk mendapatkan respons mengenai pengalamannya tidak berjaya apabila gagal dihubungi.
Rata-rata netizen dan rakan artis kagum dengan kekentalan wanita bertubuh kecil itu yang mampu menyelesaikan misi itu.
“Powerlah, jangan lupa jalan turun,” kata Fakhrul UNIC.
“Kawan yang jenis muat naik kandungan pengembaraan lasak pada hari Rabu yang biasa-biasa.” ujar Bella Dally.
“Hebat, teruskan beri semangat buat wanita di luar sana. Anak tengah memang selalunya kental begini, Harap ini kali pertama dan terakhir sebab kami warga Sabah pun turut menggigil ketakutan,” tutur peminat.
Ini bukan kali pertama Hawa melakukan aktiviti lasak apabila dia pernah melakukan aktiviti selam skuba.
Selain itu, dia juga pernah melakukan aktiviti berbasikal, mendaki, menyelam, kickboxing dan acara maraton. – HIBGLAM
