SUSULAN kehadiran Marissa Dania Hakim ke mahkamah, pelakon Abby Abadi menasihatkan anaknya itu agar tidak menganggap kesilapan masa lalu sebagai satu titik noktah yang mematikan masa depannya.
Sebagai seorang ibu yang sentiasa mengharapkan yang terbaik, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, mahu Marissa bangkit dan memandang setiap ujian itu sebagai sebuah pembelajaran fasa kematangan.
“Nasihat mama, adik (Marissa) baru 20 tahun. Kesilapan itu bukan bermakna adik gagal.
“Itu tanda sedang belajar jadi manusia yang lebih baik dan matang.
“Anak mama kuat, insya-Allah sekali lagi,” katanya dalam hantaran Instagram.
Dalam pada itu, pelakon drama Gerak Khas itu turut mengingatkan Marissa agar sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan tidak sesekali melakukan sesuatu perkara hanya semata-mata kerana terikut-ikut dengan trend atau orang sekeliling.
“Kalau hari ini adik belum faham erti hidup, tak apa yang penting terus belajar.
“Jangan buat sesuatu sebab ramai buat, tapi buat bila sesuatu itu memberi nilai untuk hidup adik.
“Nilai hidup bukan pada siapa paling hebat tapi pada jiwa dan hati yang tenang,” katanya lagi.
Dia turut menyarankan Marissa untuk keluar melihat dunia luar bagi menghargai nikmat hidup yang dikurniakan Tuhan.
“Pusing-pusing dulu lihat keindahan bumi ciptaan Allah ini.
“Bagi peluang untuk diri merasa nikmat kehidupan yang Allah anugerahkan,” nasihatnya.
Hari ini, Marissa dan suaminya, Ahmad Aslam hadir ke mahkamah berikutan prosiding penting bagi menentukan status sebenar hubungan pasangan itu sama ada masih sah sebagai suami isteri atau sebaliknya.
Ini berikutan Ahmad Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya, Marissa Dania Hakim sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.
Untuk rekod, kisah Aslam dan Marissa sebelum ini mencetuskan perhatian ramai selepas dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.
Pernikahan tersebut dikatakan berlangsung ketika isteri pertama Aslam, Misya Mazlan sedang menunaikan umrah selain didakwa tanpa pengetahuan keluarga Marissa termasuk ibu bapanya, pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi.
Pada Mei 2025, pasangan itu hadir ke mahkamah sama bagi tujuan pengesahan perkahwinan, namun proses pendaftaran serta penguatkuasaan masih belum selesai sehingga kini. – HIBGLAM
