DUNIA fesyen dan hiburan sering bergerak seiring. Apabila dua figura berpengaruh bergabung dalam satu kempen gaya, hasilnya bukan hanya mempamerkan pakaian, tetapi memancarkan identiti, keyakinan serta aura tersendiri.
Begitulah kehadiran dua bintang popular tanah air, Scha Alyahya dan Hael Husaini, apabila dipilih sebagai wajah kempen raya terbaharu Amber LUXE: Luxe – An Interpretation Collection.
Aura elegan kedua-dua selebriti tersebut seakan menyatu dengan roh koleksi raya berkonsep minimalis moden.
Penampilan tenang namun eksklusif menjadi tarikan utama, sekali gus membuktikan gaya mewah tidak semestinya sarat perincian, sebaliknya hadir melalui kesederhanaan penuh kelas.
Jenama fesyen tempatan Amber memilih Scha dan Hael sebagai wajah utama kempen tersebut kerana imej eksklusif, minimalis serta elegan dianggap paling bertepatan dengan konsep Amber LUXE.
Pemilihan tidak bersandarkan populariti semata-mata, sebaliknya mengambil kira personaliti, cara membawa diri serta ketelitian mereka dalam memilih jenama selari dengan definisi ‘Luxe’ ingin diketengahkan.
Koleksi wanita menampilkan lima rekaan utama iaitu Melis, Esma, Ruya, Ela dan Leyla. Bagi lelaki pula, tiga set Baju Melayu moden diperkenalkan iaitu Orhan, Azra dan Demir, tampil dengan potongan minimalis serta kemasan premium.
Ketua Pegawai Eksekutif Amber, Adzliana Hasan berkata, konsep Amber LUXE menekankan kemewahan dalam bentuk sederhana, justeru Scha dan Hael dianggap pilihan paling tepat mewakili koleksi tersebut.
“Jika dilihat Amber LUXE, rekaan sangat ringkas tetapi tetap menampakkan kemewahan. Sebab itu saya merasakan konsep ini sangat sesuai dengan Scha dan Hael. Apabila mereka menggayakannya, semuanya kelihatan begitu tepat.
“Bagi saya, ‘Luxe’ bukan merujuk kepada status semata-mata, tetapi pada tekstur kain, pemilihan rekaan serta keseluruhan rasa pakaian tersebut.
“Cara seseorang membawa diri dan pakaian dipakai perlu berjalan seiring agar aura mewah itu benar-benar terasa,” katanya.
Menurut beliau lagi, koleksi Amber LUXE disasarkan kepada semua golongan walaupun menampilkan sentuhan eksklusif.
“Amber LUXE untuk semua. Kami mahu koleksi ini nampak eksklusif tetapi masih mampu dimiliki. ‘Luxe’ bukan sekadar mahal, sebaliknya terletak pada kualiti, rekaan dan pengalaman ketika memakainya,” ujarnya.
Tambah Adzliana, penerimaan pelanggan terhadap Amber terus menunjukkan perkembangan positif termasuk selepas pembukaan butik baharu di IOI City Mall.
“Sambutan sangat baik. Walaupun Amber bukan jenama terbesar, pelanggan tetap datang melihat koleksi kami dari awal hingga kini. Penerimaan masyarakat amat positif,” katanya.
Sementara itu, Scha menyifatkan peluang menjadi wajah Amber LUXE sebagai satu penghargaan terhadap perjalanan kerjayanya dalam industri hiburan dan perniagaan.
“Bagi saya, ‘Luxe’ bukan sekadar pada pakaian, tetapi cara kita membawa diri.
“Saya seorang yang santai, namun sangat teliti dalam memilih kerja serta jenama.
“Sebab itu apabila diberi peluang ini, saya melihatnya sebagai satu penghargaan terhadap perjalanan yang saya bina selama ini,” katanya.
Sementara itu Scha Alyahya berkata, konsep Amber LUXE juga menarik kerana memberi peluang kepada lebih ramai individu merasai pengalaman mengenakan busana eksklusif pada harga berpatutan.
“Datuk Adzliana mahu semua orang merasai bagaimana memakai pakaian berkonsep ‘Luxe’, tetapi dengan harga munasabah dan kualiti sangat baik.
“Rekaan juga kelihatan berbeza, terutama untuk lelaki yang lebih ringkas dan minimalis,” jelasnya
Hael pula menyifatkan koleksi tersebut menerima sambutan hangat daripada peminat, termasuk ketika diperkenalkan pada acara fesyen di Singapore baru-baru ini.
“Alhamdulillah, untuk koleksi kali ini sambutan sangat baik.
“Ada beberapa rekaan habis terjual dengan cepat, terutama ketika acara di Singapura.
“Saya rasa peminat Amber memang menantikan koleksi seperti ini,” tutupnya. – HIBGLAM.
