‘Tanpa’ bapa, Nabila Huda masih ada ibu di sisi

LEBIH berat, lebih banyak aksi dan drama. Itu antara janji aktres Nabila Huda kepada penonton untuk filem Gayong 2 yang bakal ditayangkan di pawagam 9 April ini.

Kembali membawa watak Che Som, isteri kepada pengasas silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman lakonan, aktor Beto Kusyairy, kata Nabila, drama dalam filem tersebut adalah lebih berat.

“Sebenarnya, pelakon tidak mempunyai banyak masa untuk buat persediaan. Selepas tamat penggambaran filem Gayong, kami hanya berehat seminggu sebelum memasuki set penggambaran Gayong 2.

Disebabkan itu, emosi dan watak masih menebal dalam diri. Cuma Gayong pertama lebih kepada pengenalan budaya, sejarah dan keluarga setiap watak.

“Dalam Gayong 2 ‘timeline’ yang diambil adalah lapan tahun selepas Gayong pertama. Jadi, dalam filem kali ini, kesemua watak telah stabil termasuk Datuk Meor yang ketika itu telah menjadi anggota polis,” tutur Nabila.

Tambah Nabila, meskipun jalan ceritanya adalah berdasarkan inspirasi tetapi sejarah mengikut kisah benar yang berlaku pada zaman itu.

“Waktu itu memang zaman kongsi gelap dan tugas Datuk Meor adalah memerangi isu melibatkan kongsi gelap. Jadi, dalam filem kedua kita ada ramai pelakon termasuklah orang Cina dan Singapura.

Kalau cabaran, bagi saya Beto lebih penat sebab asyik berlawan, saya pula lebih bertenang. Tetapi masih ada adegan yang saya lakukan aksi lagak ngeri sendiri,” kata Nabila.

Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran hampir sebulan sekitar Perak, jelas Nabila, dia dan semua pelakon sudah seperti sebuah keluarga besar.

Biasalah penggambaran ada hari okey, ada hari huru-hara, tetapi kami semua gembira sahaja di set kerana pengarah, Faisal Ishak langsung tidak memberi tekanan.

“Sebelum ini banyak kali saya bekerja dengan Faisal, dia seorang pengarah yang bagus dan menjadi pengikat untuk semua orang di set penggambaran. Apa sahaja masalah, dia orang yang paling positif dan kekal bertenang,” luah Nabila.

KEMBALI memainkan peranan ikonik, Che Som dalam filem Gayong 2, Nabila berdebar menanti reaksi ramai untuk naskhah terbabit yang mula ditayangkan 9 April ini.

Bercakap tentang gandingannya bersama Beto, jelas Nabila mereka adalah rakan yang rapat dan sangat mudah untuk bekerjasama.

“Kami memang kawan rapat dan tinggal pun berjiran di taman yang sama. Jadi, memang tidak ada masalah kerana masing-masing sudah tahu bawa karakter sendiri.

Cuma sebagai pelakon, saya sendiri penat tengok Beto berlawan tidak habis-habis di set penggambaran (ketawa), tetapi saya yakin penonton pasti akan suka kerana dari mula sampai habis penuh aksi.

“Saya berharap peminat filem tempatan akan memberikan sokongan kerana sudah lama kita tidak ada sebuah filem dengan kualiti antarabangsa yang mengangkat patriotisme dan budaya tempatan,” kata Nabila.

Kosong

Sepanjang mendirikan rumah tangga dengan Mohd. Izwan Johar pada 2015, rutin sambutan raya Nabila adalah pulang ke kampung halaman suami di Singapura.

Tahun ini agak berbeza kerana buat kali pertamanya, Nabila beraya bersama ibunya, Faridah Fadzil di Kuala Lumpur.

Selalunya saya memang balik Singapura, ibu pun saya bawa sekali. Tetapi tahun ini, ibu minta beraya di Kuala Lumpur, suami pun memberi keizinan jadi, kami semua beraya di sini sahaja,” kongsi Nabila.

Kata Nabila, ramai orang menyangka dia tidak begitu rapat dengan ibunya kerana jarang berkongsi soal peribadi di media sosial, namun hakikat sebenarnya hubungan mereka sangat rapat.

“Saya dengan mama tidak pernah ada masalah, cuma saya memang jarang muat naik gambar keluarga dalam sosial media mungkin sebab itu orang ingat kami tidak rapat.

Walhal, sejak suami mama meninggal dunia, saya yang menjaga semua keperluannya walau tinggal berasingan.

“Mama juga penyokong nombor satu saya. Setiap kali saya ada persembahan teater, mama akan minta tiket dan hadir. Jadi, mama memang sentiasa ada dengan saya cuma saya pilih untuk tidak berkongsi dengan umum,” tutur Nabila.

Dalam kegembiraan menyambut raya bersama ibu, Nabila tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih kerana sudah lama tidak beraya bersama bapanya, penyanyi Datuk Amy Search.

NABILA enggan terlalu menaruh harapan dapat beraya dengan bapanya, Amy Search, namun sentiasa mendoakan kebahagiaan orang tuanya itu walau di mana beliau berada. – Solekan EZAD IBRAHIM

Bukan lagi rahsia, hubungan antara Nabila dan bapanya sudah lama dingin selama beberapa tahun. Biarpun masih mengharap andai ada rezeki untuk berkumpul dan beraya bersama seperti keluarga lain, Nabila sudah reda.

Sudah beberapa tahun belum ada rezeki (raya bersama bapa), kita tunggulah tahun depan dan tahun seterusnya.

“Sebagai anak saya sudah move on dan lalui saja situasi ini dengan reda. Sebagai manusia tipulah kalau saya tidak sedih, tetapi tahun ini saya sudah rasa kosong.

Buat masa ini saya tidak rasa boleh ke rumahnya untuk beraya atau ada sebarang komunikasi dengannya. Sebagai anak saya sudah cuba terbaik, tetapi selagi keadaan itu tidak diperbaiki oleh seorang ketua keluarga, saya tidak tahu apa yang boleh saya buat lagi.

“Saya hanya boleh berdoa, mungkin sekarang bukan masanya untuk saya bersama seorang bapa. Jadi, reda sahajalah,” luah Nabila.

Bisnes

Bagi mengubat kekecewaan hati, Nabila banyak menghabiskan masa memasak. Akuinya memasak adalah terapi terbaik buatnya.

Justeru, selain berlakon, Nabila juga dikenali sebagai tukang masak yang handal dalam kalangan rakan artis dan juga peminat.

“Tidak perlu beli barang mahal, cukup bawa saya ke pasar atau beli barang dapur sudah buat saya gembira.

Memasak, membelek bahan mentah di pasar dan melihat orang gembira menikmati masakan saya adalah terapi paling terbaik. Inilah yang buat saya gembira sebab itu saya sering muat naik video masakan di sosial media,” ujarnya.

Bahkan, disebabkan kerap berkongsi resipi masakan pasta, kini Nabila muncul dengan produk sos pasta hasil tangannya sendiri iaitu Amore In Cucina.

Sebelum mengeluarkan produk sos pasta ini, Nabila terlebih dahulu menjalankan pelbagai bisnes makanan antaranya sambal dan nasi ayam geprek.

“Saya suka masak dan sebelum ini bisnes makanan saya semuanya semangat lima minit saja (ketawa). Sebab saya bukannya berniat hendak jadi jutawan tetapi lebih kepada hendak bagi orang rasa masakan saya.

Kali ini berbeza kerana perancangan untuk bisnes sos pasta ini sudah ada beberapa tahun. Saya pernah beri orang lain cuba buat tetapi gagal, akhirnya pada awal Ramadan ini saya buat terus dan tidak sangka sambutan hangat.

“Semua sos pasta saya ‘sold out’. Ikutkan saya tidaklah untung banyak kerana bahan-bahan seperti tomato dan minyak zaitun yang saya gunakan sangat premium.

“Saya tidak mahu tipu pelanggan, seperti mana bahan saya gunakan untuk memasak, bahan yang sama juga ada dalam sos pasta yang dijual. Perancangan bisnes kali ini serius dan saya mahu jual ke seluruh Malaysia,” ujar Nabila menutup bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok