Pegang boleh tapi elak cium – Nabila Razali

PENYANYI dan pelakon Nabila Razali masih kekal dengan prinsip melarang mana-mana individu terutama yang tidak dikenali mencium anaknya, Nik Muhammad Nik Iruwan pada musim perayaan tahun ini.

Bella atau nama penuhnya Nur Nabila Mohd Razali, 34, berkata, dia tidak kisah sekiranya ada invidu mahu memegang Nik Muhammad namun meminta agar tidak berlebih-lebihan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan anaknya itu terjaga.

“Saya tiada masalah kalau nak pegang cuma elak mencium anak saya seperti mana yang pernah diberitahu sebelum ini.

Saya memang tak berapa setuju kalau ada orang di luar sana yang nak cium pipi, dahi atau mana-mana anggota badan lain, elakanlah.

“Kalau nak bergambar, boleh saja, insya-Allah dengan ibunya sekali,” katanya kepada HibGlam.

Ujarnya, dia bertegas dengan pendirian tersebut bagi mengelakkan sebarang penyakit atau perkara tidak diingini berlaku anaknya.

“Kesihatan memang perlu jaga sebab bila sakit, hujung-hujungnya ibu bapa juga yang perlu jaga.

Memang orang kadang-kadang tak faham tapi saya harap mereka sedar dan praktikkan perkara tersebut bukan pada anak saya sahaja tetapi semua orang.

“Saya pasti semua orang nak jaga anak mereka sebaik mungkin dan tidak dicium oleh sesetengah orang tak dikenali,” ujarnya yang menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini di kampung suaminya iaitu di Kelantan.

Ditanya mengenai caranya mengawal ragam puteranya pada musim raya ini, penyanyi lagu Vroom Vroom itu akan memastikan Nik Muhammad mendapat rehat yang mencukupi.

“Alhamdulillah bersyukur sangat sebab Muhammad anak yang sangat baik dan mendengar kata.

Mungkin sebab dia juga masih kecil, marah sedikit pun sudah menangis. Saya pula garang.

“Untuk elak meragam, saya akan pastikan dia dapat tidur dan makan yang cukup. Bawa kipas kalau panas untuk beri dia rasa selesa,” ujarnya.

Pada sambutan Aidilfitri tahun lalu, Nabila memohon agar semua tetamu yang hadir ke majlis akikah anak lelakinya yang diadakan di Kelantan supaya menghormati batas serta pantang larang yang telah ditetapkan ketika bertemu anak kecilnya bagi memastikan kesihatan dan keselamatan terjaga.

Nabila berkahwin dengan usahawan, Nik Iruwan Nik Izani pada 18 November 2023 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki pada 23 Disember 2024.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok