BEBERAPA hari lagi umat Islam seluruh dunia bakal meraikan hari lebaran sebagai tanda kemenangan selepas sebulan berpuasa. Buat figura bernama Datuk AC Mizal, selain membuat persiapan dan menjadi sebahagian daripada kemeriahan lambakan lagu raya tahun ini, terselit rasa sayu dalam lubuk hatinya.
Meraikan lebaran buat pertama kali tanpa ibu mentua yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu meninggalkan impak besar kepadanya sekeluarga.
Tahun ini sedih sebab pertama kali beraya tanpa ibu mentua. Tidak tahu apa yang akan kami rasa terutama isteri pada raya pertama nanti.
“Memang terasa sangat kehilangan dia sebab selalunya pada pagi raya dia antara yang sibuk di dapur memasak pelbagai hidangan.
“Namun, tahun ini rasa kosong dan sangat berbeza bila, sayu,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Tambah AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, peranan yang ditinggalkan ibu mentuanya itu kini digalas oleh anak-anak yang masih bernyawa, termasuk dirinya sebagai ketua keluarga.
“Memang lain sangat suasana bila orang tua tiada di rumah, semangat hilang.
“Sekarang tugas kita pula galas tanggungjawab yang arwah mak atau arwah ayah pikul dulu.
“Kita yang seharusnya terus menjaga dan menghidupkan tradisi ditinggalkan dalam sesebuah keluarga,” katanya lagi.
Bukan sahaja kehilangan ibu mentua, ketiadaan anak lelakinya, Reeve Damien pada hari raya tahun ini di tanah air memberi duka berganda buatnya dan keluarga.
Katanya, Reeve dijangka pulang ke tanah air pada 1 April depan.
“Sejak beberapa tahun lalu, Reeve menyambut raya di Berlin, Jerman sebab dia melanjutkan pelajaran di sana. Tahun lalu saya beraya dengan dia di sana tetapi tahun ini tidak.
“Sebenarnya dia yang ‘pegang’ kemeriahan hari raya di rumah kami dan bila dia tiada memang kehilangan sesuatu dalam keluarga. Kami sekeluarga merasainya sebab memang sangat rapat antara satu sama lain,” jelasnya anggota kumpulan 4U2C berkenaan.
Di sebalik rasa kurang kemeriahan raya, dia tetap memandang perkara tersebut sebagai satu hal positif yang memberinya banyak peluang meluangkan masa berdua bersama isteri.
“Dulu raya sibuk ‘packing’ baju anak-anak, tetapi sekarang tidak lagi dan kebanyakan masa hanya berdua sebab anak perempuan sibuk dengan kawan-kawan.
“Jadi, kebanyakan masa memang dengan isteri sahaja termasuk pada hari raya. Mungkin Tuhan beri peluang kami ‘dating’, syukur dipertemukan jodoh dengan kawan baik dan ada hobi yang sama,” kongsinya yang kini aktif dengan sukan pickleball.
Momen raya
Membuka cerita tentang hari rayanya tahun ini, dia bakal meraikan lebaran di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Ipoh, Perak iaitu kampung halaman isterinya, Emylia Rosnaida.
Dalam masa sama, dia yang menggemari rendang Perak air tangan isteri tercinta turut mengakui merindui kemeriahan hari raya zaman dahulu termasuk tidur beramai-ramai di kampung dan memasak pada malam raya.
Sebenarnya raya sudah tak seperti dulu dan paling rindu adalah tidur lambak di kampung.
“Sekarang tidak lagi ada suasana tersebut, anak-anak kita pun banyak duduk dalam bilik, leka dengan permainan video, sangat berbeza.
“Kemudian dulu di kampung saya di Negeri Sembilan, malam raya memang meriah, kacau dodol, bakar lemang dan memasak juadah raya di ‘rumah kopok’ belakang rumah. Semua itu hanya tinggal kenangan dan saya generasi yang untung sempat merasainya,” katanya lagi.
Sempat membuka cerita lama menyambut raya pada zaman kegemilangan 4U2C, dia melalui pelbagai memori lucu termasuk kunjungan peminat dan sanak saudara ke rumahnya.
“Saya masih ingat pada raya pertama sebagai kumpulan 4U2C, ramai mak cik tiba-tiba nak ambil gambar bersama dan ada saudara-mara datang ke rumah dan baru nak mengaku saudara.
“Paling lucu ada yang datang rumah bawa anak perempuan mereka dengan hasrat nak jodohkan dengan saya,” noktahnya.
