‘Sayang awak sangat’ – Selena bidas netizen, cium kaki suami

SELENA Gomez sanggup mengucup kaki suaminya Benny Blanco, ketika lelaki itu sedang merakamkan video bagi program audio siar, Friends Keep Secrets.

Tindakan spontan tersebut dipercayai sebagai bukti bahawa kaki lelaki yang dicintainya itu bersih, bukan seperti diperkatakan netizen.

Hal ini kerana, penerbit muzik itu dikecam netizen sebagai seorang yang pengotor susulan video dikongsikan dalam episod terdahulu podcast berkenaan.

Dalam rakaman berkenaan, Gomez, 33, yang duduk di lantai mencium jari kaki Blanco secara spontan membuatkan lelaki terbabit terdiam seketika sebelum bersuara.

“Saya suka (dia cium kaki saya), buat saya rasa gembira. Saya sayang awak sangat,” katanya.

Aksi pasangan berkenaan berlaku di hadapan hos program iaitu Lil Dicky dan Kristin Batalucco yang tampak terkejut, namun kekal profesional meneruskan wawancara.

Penyanyi Lose You To Love Me itu kemudian mendekatkan pipinya pula pada kaki suami sambil menyatakan hubungan mereka sebagai hal terhebat dalam hidupnya.

Sebelum ini, Blanco menjadi bahan kecaman netizen apabila kakinya yang kelihatan kotor dalam episod pertama podcast tersebut tular.

Isterinya turut terkena tempias apabila segelintir peminat secara bergurau meminta agar mereka berpisah disebabkan lelaki terbabit tidak menjaga kebersihan.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga di Santa Barbara, California, Amerika Syarikat pada 27 September tahun lalu.

Blanco, 38, dan Gomez saling mengenali sejak 2015, apabila bekerjasama dalam beberapa projek termasuk single Gomez, Same Old Love dan Kill Em with Kindness.

Namun hubungan mereka hanya bermula pada 2023 sebelum mengumumkan pertunangan pada Disember 2024. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok