[VIDEO] Shakira tutup VMA2023 dengan sindir bekas kekasih

ANUGERAH Video Music Award 2023 (VMA2023) yang berlangsung di Prudential Center di Newark, New Jersey, hari ini menyaksikan penyanyi Shakira meraih pengiktirafan khas MTV Michael Jackson Video Vanguard.

Sebelum naik ke pentas, ratu muzik Latin itu menghiburkan tetamu  menerusi lagu popularnya Hips Don’t Lie bersama tarian mengasyikkan sehingga seluruh dewan bergema dengan sorakan.

Sukses beraksi dengan persalinan berperincikan manik, penyanyi itu menutup persembahan dengan menyampaikan lagu Shakira: Bzrp Music Sessions, Vol. 53, yang didakwa sesetengah pihak sebagai sindiran kepada bekas kekasihnya, Gerard Pique.

Dendangan kolaborasi dengan DJ Argentina, Bizarrap yang dilancarkan awal tahun ini itu pernah tular berikutan senikatanya menyentuh kisah kecurangan Pique sepanjang 11 tahun mereka bersama.

Dendangan itu juga meraih pencapaian gemilang di YouTube apabila menjadi lagu Latin paling banyak ditonton dalam sejarah laman tersebut.

Malah menurut Guardian, Shakira: Bzrp Music Sessions, Vol. 53 yang dilancanrkan pada 12 Januari lalu mencatat 63.5 juta kali tontonan dalam tempoh 24 jam pertama.

Sementara itu, dalam ucapannya Shakira, 46, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong karier muziknya termasuk syarikat pengurusan.

“Terima kasih kepada orang tua saya, anak-anak yang selalu bagi semangat dan mengatakan saya mampu melakukan apa saja.

“Kemudian, untuk penggemar yang selalu mendukung saya dalam setiap situasi, selain menjadi tentera yang sentiasa di sisi. Terima kasih,” katanya disambut sorakan.

Terdahulu, Shakira, 36, dan Pique yang juga bekas pemain Barcelona mengumumkan perpisahan selepas lebih sedekad menjalin cinta dan dikurniakan dua cahaya mata.

Hubungan mereka hancur disebabkan kecurangan lelaki terbabit, malah isu berebut hak penjagaan anak, Milan, 11, dan Sasha, 9, memburukkan lagi keadaan.

Sementara itu, antara pemenang lain pada acara yang berlangsung awal pagi tadi itu ialah Taylor Swift yang menjulang trofi  Lagu Terbaik menerusi Anti-Hero.

Swift turut membawa pulang anugerah Video Terbaik dan Artis Terbaik VMA2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok