KEHIDUPAN tidak seindah yang disangka, pelakon Aedy Ashraf mendedahkan dia dilahirkan ketika bapanya meringkuk di penjara.
Menurut Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 33, bapanya dipenjara atas kesalahan dadah dan senjata api selama enam tahun.
“Saya tak pernah cerita perkara ini kepada sesiapa. Ketika saya dilahirkan, bapa saya berada di dalam penjara.
“Ketika saya berusia tujuh tahun saya diculik oleh bapa sendiri. Ketika itu saya sedang tidur di rumah. Ibu pula ada penggambaran.
“Itulah kali pertama saya bertemu dengan bapa. Dia bawa saya tinggal bersama kawan-kawannya selama tujuh hari,” katanya dalam podcast Kita-Kita Aje! kendalian Datuk Aznil Haji Nawawi.
Kongsi pelakon filem Tentang Bulan itu lagi, sepanjang hidup, dia hanya pernah bersama dengan bapanya selama 10 hari.
“Sepanjang hayat saya hanya pernah bersama bapa selama 10 hari. Tujuh hari ketika diculik dan lagi tiga hari ketika saya berusia 16 tahun. Ketika itu saya sudah maafkan dia dan pergi bertemunya di Kelantan selama tiga hari.
“Sekarang alhamdulillah dia sudah berubah dan jadi orang masjid. Dia juga berada dalam keadaan sihat walafiat,” jelasnya.
Tambah Aedy, dia dan ibunya hidup susah sewaktu dia membesar sehingga memaksanya berhenti sekolah ketika berusia 16 tahun.
“Kami tinggal di rumah flat. Selepas bapa keluar penjara, dia mahu kembali bersama ibu. Tetapi ibu sudah tidak boleh terima. Jadi dia akan cari kami dan kami akan berlari ke sana ke sini.
“Kami memang betul-betul bergelut ketika itu. Ada satu tahap saya dan ibu masing-masing kurang tawaran berlakon. Nak bayar sewa rumah RM140 sebulan pun tak mampu. Pernah kami tak bayar selama setahun.
“Akhirnya saya buat keputusan untuk berhenti sekolah pada usia 16 tahun untuk fokus pada karier lakonan. Saya tak mahu lihat ibu dan kakak saya hidup susah,” kongsinya.
Kini Aedy mampu berbangga kerana dia akhirnya bergelar sebagai penerbit filem dan memiliki syarikat produksinya sendiri. Filem pertama terbitannya iaitu Tarung Unforgiven akan ditayangkan pada April ini. – HIBGLAM
