NAMA Piche Kota kini bukan lagi meniti di bibir peminat kerana kemerduan vokalnya, namun terpalit dalam sebuah kemelut hitam yang menggemparkan industri hiburan seberang.
Baru sahaja melebarkan sayap dalam dunia seni, Piche terjerumus ke lembah kontroversi apabila didakwa terlibat dalam jenayah rogol membabitkan mangsa di bawah umur.
Dakwaan tersebut kian panas apabila beberapa tangkap layar perbualan yang didakwa milik penyanyi itu mula tersebar luas dalam media sosial.
Status pemilik nama lengkap Petrus Yohannes Debrito Armando Jaga Kota itu berubah daripada saksi kepada suspek selepas siasatan rapi dijalankan pihak berkuasa Jakarta.
Berdasarkan bukti awal dan keterangan saksi, pihak berkuasa mendapati wujudnya unsur jenayah seksual terhadap mangsa yang masih di bawah umur.
Pihak polis Jakarta mendedahkan suspek didakwa melakukan tindakan tersebut dengan modus operandi tertentu bagi mendekati mangsa sebelum melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Sekiranya disabitkan kesalahan, peserta Indonesian Idol musim ke-13 itu berdepan dengan hukuman penjara yang lama di bawah Undang-Undang Perlindungan Kanak-Kanak di Indonesia.
Pihak berkuasa menegaskan bahawa tiada kompromi dalam kes melibatkan keganasan seksual terhadap kanak-kanak.
Kenyataan sedemikian sememangnya mengejutkan peminat yang selama ini menjadi tunjang kekuatannya dalam kerjaya seni.

ENGGAN berpeluk tubuh, Piche tampil menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak di bawah umur.
Ruangan media sosial Piche yang dahulunya dihujani pujian, kini bertukar menjadi medan tempur kecaman netizen yang kecewa.
Respons tuan badan
Tidak lama kemudian, Piche tampil memberikan penjelasan bagi membersihkan namanya selepas namanya terpalit dengan tuduhan serius yang mencetuskan kemarahan netizen.
Secara tegas, penyanyi berusia 24 tahun itu menafikan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak di bawah umur.
Dia tidak akan melarikan diri dan bersedia untuk mengikuti segala prosedur undang-undang bagi membuktikan dirinya tidak bersalah.
Saya ingin menegaskan bahawa segala tuduhan yang dilemparkan terhadap saya adalah tidak benar sama sekali.
“Saya menghormati proses undang-undang dan bersedia untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan kemelut ini,” katanya.
Piche turut merayu agar khalayak tidak terus menjadi hakim sebelum keadilan sebenar diputuskan di mahkamah.
Kontroversi tersebut sedikit sebanyak memberikan impak terhadap imej dan kerjaya pelantun lagu Bahagia Lagi itu yang sedang meningkat naik.
Meskipun berdepan dengan tekanan hebat dan kecaman dalam media sosial, Piche memilih untuk menyerahkan segalanya kepada pihak peguam dan pihak polis. – HIBGLAM
