TURUT merasai kesedihan, pelakon Sweet Qismina mengakui berasa sayu apabila membaca berita tentang individu yang kehilangan insan tersayang terutama pada bulan Ramadan.
Sweet Qismina atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi, 28, berkata hanya Allah sahaja mengetahui perasaan mereka yang berdepan ketentuan pemergian orang terdekat lebih-lebih lagi menjelang Syawal.
Tidak kuat untuk membaca berita (mengenai) kawan-kawan atau orang luar tentang pemergian orang yang mereka sayang.
“Lagi-lagi pada bulan puasa, selepas ini bulan syawal akan tiba. Perasaan itu, Allah saja yang tahu,” tulisnya di platform Threads.
Pada hantaran sama, pelakon filem Babah itu turut mengucapkan takziah serta menitipkan harapan agar mereka yang berdepan kehilangan kembali pulih.
Salam takziah buat semua yang sedang menghadapinya. Memang tidak akan kuat untuk kita hadap, jadi ambillah masa sebanyak mungkin untuk redakan segalanya.
“Semoga arwah ditempatkan bersama mereka yang beriman,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen turut berasakan perkara sama sekali gus menzahirkan kata-kata semangat untuk mereka yang berhadapan situasi duka itu.
“Sedangkan kita yang tengok pun tak mampu berkata-kata apatah lagi yang menghadap ujian itu. Kehilangan orang tersayang ini sakitnya 10 tahun belum tentu sembuh,” kata seorang pengguna Threads lain.
“Tidak dapat bayangkan jika kita ditempat mereka. Marilah kita hargai orang tersayang sementara mereka masih ada,” tulis netizen.
Terdahulu, berita pemergian anak sulung pelakon Amyza Aznan iaitu Andre Mikhail yang meninggal dunia selepas setahun bertarung dengan kanser paru-paru membuatkan ramai sebak.
Sebelum itu, perkongsian Amyza mengenai keadaan puteranya ketika di hospital turut mengundang simpati khalayak malah ramai turut mendoakan kesejahteraan anak sulung daripada tiga bersaudara itu. – HIBGLAM
