‘Ketika Amyza lahirkan Andre, saya dalam bilik bersalin menemaninya’

PELAKON dan penyampai radio Sharifah Shahirah tidak dapat melupakan detik bersejarah kira-kira 23 tahun lalu apabila menemani sahabat karibnya, Amyza Aznan melahirkan anak sulung, Allahyarham Andre Mikhail di bilik bersalin sebuah hospital di ibu negara.

Ujar Shahirah atau nama sebenarnya Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 51, nama Andre merupakan nama cadangannya untuk diberikan kepada permata hati sahabatnya itu.

“Ketika Amyza melahirkan Andre, saya ada dalam bilik bersalin menemaninya.

Nama Andre juga saya yang cadangkan sebab memang saya suka nama Barat. Saya beritahu Amyza, kalau dia suka, ambillah untuk anaknya,” katanya kepada HibGlam.

Shiera yang sempat menziarahi Amyza serta Allahyarham di hospital sehari sebelum pemergian mengakui tidak mampu menahan sebak melihat keadaan sahabatnya itu.

Apabila dengar berita mengenai Andre, saya terus buntu. Masuk sahaja ke bilik, saya tak mampu tahan air mata. Amyza sudah berhenti menangis, saya pula menangis tanpa henti.

“Hendak kata dia kuat pun saya tak mampu. Dalam hati cuma mampu berdoa. Semua orang datang pun tidak dapat tahan air mata. Setiap orang ada ujian masing-masing dan Amyza diuji sebegini,” ujarnya pada majlis pelancaran lagu Dentam Dentum Raya, malam tadi.

Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang anak yang sangat baik, bertanggungjawab dan amat rapat dengan keluarga, terutama adik-adik.

“Andre memang anak baik, banyak bantu jaga adik-adik. Mereka sangat rapat. Amyza pula ibu sentiasa bersama anak-anak.

Paling menyentuh hati apabila melihat adik kecilnya. Selama ini Andre banyak menjaga mereka. Malah ada adik yang tidak sanggup mendekati abang kerana terlalu sedih. Semua orang tidak sanggup, tetapi kita tetap perlu lalui,” katanya.

Sebagai ibu kepada lima cahaya mata, Shiera mengakui tidak mampu membayangkan betapa berat dugaan ditanggung Amyza.

“Hanya Tuhan sahaja tahu perasaan itu. Saya sendiri tak pandai menyusun kata.

Apa yang mampu, kita dekatkan diri kepada Allah dan banyakkan doa,” katanya.

Terdahulu, Andre menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun berjuang melawan kanser paru-paru tahap tiga, sekali gus meninggalkan duka mendalam buat keluarga serta sahabat terdekat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok