‘Andre Mikhail anak soleh, perginya dia pada bulan Ramadan’

SUAMI kepada pelakon Amyza Aznan iaitu Khairil Idzhar Md Nazir menerima pemergiaan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru hari ini dengan reda terutama pada bulan Ramadan.

Menurut Khairil, dia berada di sisi Andre sehingga menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Andre anak yang baik bagi saya dan tidak menyusahkan walaupun sedang sakit. Seharian kami tak dapat bercakap dengan dia, seperti ditidurkan walaupun dia sedar dah tak dapat bercakap sehinggalah nafas terakhir dia.

“Sejak semalam lagi kami sudah dimaklumkan keadaan Andre agak kritikal dan kami memang sentiasa ada di sisinya.

“Alhamdulillah semua urusan dipermudahkan dan perginya Andre yang soleh ini dalam keadaan mudah. Ketika dia hembuskan nafas terakhir, saya ada disisinya,” katanya kepada HibGlam di pekarangan HKL hari ini.

Tambahnya, dia bersyukur kerana berada di samping anaknya sepanjang setahun bertarung dengan kanser paru-paru.

“Setahun Andre melawan kanser dan saya bersama menemani dia walaupun keadaan saya pun tidak berapa sihat.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dapat membantu menangani penyakitnya.

Satu hal yang menguatkan saya, perginya anak saya pada bulan Ramadan, Alhamdulillah,” ujarnya.

Jenazah Andre akan dibawa ke Masjid Al-Khairiah AU3 Keramat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana sekitar pukul 10 pagi esok.

Hari ini, Amyza memaklumkan Andre menghembuskan nafas terakhir selepas hampir setahun bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga.

Terdahulu, sekitar tahun lalu, Amyza mengesahkan Andre, 20, menghidap kanser paru-paru tahap tiga.

Amyza seterusnya sekali lagi diuji pada Ramadan tahun ini apabila Adrian, 18, pula disahkan menghidap kanser tulang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok