MENGAMBIL keberkatan Ramadan, pendakwah bebas, PU Riz mahu berkongsi rezeki dengan memberi sumbangan kepada mana-mana individu memerlukan sepanjang bulan mulia ini.
PU Riz atau nama lengkapnya Muhammad Haris Mohd Ismail, 31, berkata, bantuan dihulurkan adalah dari segi menyediakan perbelanjaan untuk makanan dan minuman.
“Kepada sesiapa yang membaca tulisan ini, dengan rendah diri saya ingin memaklumkan sesuatu yang amat penting bermula 1 Ramadan 2026.
Jika anda mengenali keluarga, sahabat, saudara atau sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan agak susah, saya dan pasukan bersedia belanja makan dan minum.
“Untuk 20 individu setiap hari sehingga 1 Syawal tahun ini,” katanya dalam perkongsian di Instagram.
Suami kepada personaliti popular Neelofa itu turut meminta mereka yang memerlukan bantuan menyalurlan maklumat dengan menghubungi pihaknya.
Jika berminat, boleh hantar butiran segera ke nombor ini, 011-63372884,” ujarnya.
Perkongsian bapa kepada dua cahaya mata itu meraih maklum balas positif netizen yang mendoakan agar amalan tersebut diberikan ganjaran berlipat kali ganda.
“Semoga Allah bagi ganjaran lebih banyak di dunia dan akhirat kepada penyumbang,” tulis seorang pemilik akaun Instagram.
Berkongsi rezeki dengan semua peringkat golongan masyarakat bukan asing buat PU Riz malah pernah menawarkan RM300 kepada pelajar yang mendapat keputusan 5A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar 2021.
Tahun berikutnya dia menggandakan jumlah itu menjadi RM700 selain ditawarkan kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan atau B40 dan orang kelainan upaya (OKU).
PU Riz juga difahamkan kerap berkongsi rezeki dengan pemandu e-hailing dan juga ‘rider’ penghantar makanan sejak beberapa tahun lalu. – HIBGLAM
