Dulu tak popular, Zara Zya pernah ditertawakan pelakon wanita

MEMORI pahit ‘makan dalam’, pelakon Zara Zya mendedahkan pernah ditertawakan seorang aktres apabila dikatakan tidak popular dan tiada kelompok peminat sendiri.

Menurut Zara atau nama penuhnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 41, perkara tersebut adalah momen menyedihkan kerana dimalukan di hadapan kru produksi.

“Teringat kejadian ketika masih belum dikenali dan menjalani penggambaran bersama seorang pelakon wanita, nama dia J.

“Ketika itu kami jalani penggambaran di pusat beli-belah dan ada beberapa peminat nak bergambar dengan dia, normal sebab dia dikenali.

“Yang tak normal dan menyedihkan, dia boleh ketawakan saya depan seluruh produksi sambil cakap, ‘kau siapa? Orang tak kenal pun. Kau tak popular’. Berkali-kali dia ulang dan saya diam, teruskan kerja,” katanya dalam platform Threads.

Ujarnya, banyak perkara menyakitkan hati perlu dihadapinya selama tujuh hari penggambaran dilakukan bersama yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.

Perkara tersebut juga mengajarnya agar tidak sesekali merendah-rendahkan imej dan rezeki orang lain.

“Saya hadap dia hampir tujuh hari. Macam-macam dia cakap dan hina saya. Memang masa tu orang tak kenal saya pun dan masih mentah lagi dalam industri.

“Bila teringat, saya sedih tapi tak menangis. Sedih dia ‘makan dalam’ dan buat saya sentiasa beringat, jangan hina dan elak pandang rendah pada orang sebab tak tahu rezeki kita semua macam mana.

“Dia sudah tak ada pun dalam industri lagi, sekian,” katanya lagi.

Zara bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pelakon berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok