Lee Je Hoon gegarkan Zepp KL 11 April ini

MENGUBATI  kerinduan, pelakon Korea Selatan Lee Je Hoon kembali ke Malaysia menerusi sesi Lee Je Hoon Fanmeeting Our 20th Moment pada 11 April ini.

Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, acara bertemu peminat sempena ulang tahun dua dekad selebriti kesayangan ramai itu di arena seni merupakan tanda penghargaan buat penyokong setianya.

Dianjurkan Shanghai SanYanSiYu Cultural Creativity bersama TopGallant Show, kredibiliti penggiat seni berusia 44 tahun itu antara keistimewaan yang membuatkannya disayangi ramai.

“Beliau cukup berbakat ini dan mencatat kejayaan luar biasa menerusi watak ikonik dalam drama tiga musim, Taxi Driver, sehingga berjaya merangkul Anugerah Grand Prize (Daesang) di Anugerah Drama SBS bagi tahun 2023 dan 2025.

“Selain itu, Je-Hoon juga dikenali menerusi drama Signal yang bakal kembali dengan musim kedua tahun ini, serta karya hebat lain termasuk Move to Heaven, Chief Detective 1958 dan filem Escape.

“Beliau seorang aktor yang bagus serta berpersonaliti menarik selain sangat menghargai peminatnya,” kata satu kenyataan media.

Menerusi sesi di Kuala Lumpur nanti, pelbagai aktiviti dan pengisian menarik bakal berlangsung termasuk persembahan istimewa, sesi interaksi dan banyak lagi.

Pemegang tiket kategori SVIP yang berharga RM888 bakal menikmati kelebihan seperti sesi latihan akhir, peluang memenangi sesi fotografi polaroid dan poster bertandatangan secara langsung bagi peminat terpilih.

Selain itu, kategori VIP BOX ditawarkan pada harga RM4,988 manakala kategori VIP berharga RM658, di mana kedua-dua kategori ini turut disertakan dengan sesi foto dan pelbagai cenderamata digital.

Bagi peminat yang memilih tempat duduk Zone A pada harga RM398, mereka akan menerima poster rasmi serta berpeluang menyertai sesi foto berkumpulan bersama Je-Hoon.

Jualan tiket akan dibuka secara rasmi pada 25 Februari 2026 bermula pukul 12 tengah hari menerusi platform fantopia.io, my.trip.com, dan www.ctrip.com.

Terdahulu, bintang asal Seoul itu berkunjung ke negara ini buat kali pertama dua tahun lalu juga bagi acara bertemu peminat. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok