‘Saya perlukan isteri penuh rasa hormat, pendengar yang baik’

SUAMI kepada aktres jelita Erra Fazira, Ezwan Zain, meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan pasangan hidup yang tenang, sangat memahami serta sentiasa menjadi tempat meluah rasa.

Ujar Ezwan, 45, kehadiran isteri di sisi memberi ketenangan luar biasa, apatah lagi wanita itu bukan hanya pasangan tetapi pendengar setia setiap kali dirinya ingin bercerita sesuatu.

“Alhamdulillah, isteri saya seorang pendengar sangat baik.

“Walaupun kadang-kadang dia tidak memandang muka saya, saya tahu dia mendengar setiap apa saya luahkan,” katanya dalam sebuah audio siar.

Tambah usahawan itu, sikap saling menghormati menjadi kunci utama keharmonian rumah tangga, bukan kemewahan atau perkara besar lain seperti sering disalah anggap masyarakat.

“Saya perlukan isteri yang mampu menjadi pendengar baik dan seorang wanita penuh rasa hormat.

“Bagi saya, kebanyakan lelaki hanya perlukan itu sahaja untuk menyelesaikan banyak masalah.

“Jika rasa hormat diletakkan di hadapan, segala perkara akan menjadi lebih baik,” ujarnya.

Luahan penuh jujur tersebut pantas mencuri perhatian netizen, malah ramai mengakui kata-kata Ezwan menggambarkan keperluan emosi sebenar seorang lelaki dalam perkahwinan.

“Simple tapi mendalam. Lelaki memang perlukan pasangan yang mendengar,” komen netizen.

“Betul, hormat itu asas rumah tangga. Bila hilang hormat, semua runtuh,” tulis seorang pengguna media sosial.

Untuk rekod, pelakon Sembilu itu sah bergelar isteri kepada Ezwan dengan sekali lafaz dalam majlis akad nikah berlangsung pada 12 Disember tahun lalu. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok