Tiga hari bertarung nyawa, Along Eyzendy meninggal dunia

PELAKON Along Eyzendy menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Serdang pada pukul 12.16 tengah malam tadi.

Khabar duka pemergian Along atau nama sebenar Mohd Ezendy Mohd. Aziz, 47, selepas tiga hari bertarung nyawa itu disahkan isterinya, Hamidah Mohd Yatim.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, Allahyarham meninggal dunia di sisi ahli keluarga dalam keadaan tenang.

Pada 5 Februari lalu, Along atau nama sebenarnya Mohd. Eyzendy Mohd. Aziz, 47, terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Terapi (ICU) akibat pendarahan serius dalam perut.

Sebelum itu arwah dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam dan batuk berpanjangan sebelum disyaki terdapat jangkitan pada stent di saluran hempedu.

Pada 15 April 2021, Along juga pernah menjalani pemindahan buah pinggang yang didermakan isterinya.

Namun setahun kemudian penggiat seni asal Ipoh, Perak itu sudah kembali aktif berlakon.

Menyingkap latar belakangnya, karier seni Along bermula dalam arena muzik sebagai peniup trumpet sebelum menceburi bidang lakonan pada 2003.

Antara filem lakonannya adalah Lagenda Budak Hostel, Khurafat: Perjanjian Syaitan, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Ustaz dan Mu Tunggu Aku Datang.

Difahamkan, urusan mandi jenazah akan disempurnakan di hospital sebelum dibawa pulang untuk dikebumikan di Pasir Gudang, Johor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok