PELAKON dan penyampai radio, Roy Azman terpaksa ditahan di sebuah pusat perubatan selepas disahkan mengalami jangkitan pada bahagian paha hingga memerlukan rawatan lanjut serta pembedahan.
Roy atau nama sebenarnya Zairosminan Abdul Rahman, 56, berkongsi perkembangan keadaan kesihatannya menerusi satu rakaman video dimuat naik dalam Instagram rasmi sebuah stesen radio, sekali gus meredakan kebimbangan peminat.
Roy atau nama sebenarnya Zairosminan Abdul Rahman, 56, berkongsi perkembangan keadaan kesihatannya menerusi satu rakaman video dimuat naik dalam Instagram rasmi sebuah stesen radio, sekali gus meredakan kebimbangan peminat.
“Beginilah keadaan saya dalam wad. Saya mengalami jangkitan di bahagian pangkal paha, jadi perlu menjalani pembedahan.
Sepatutnya pembedahan dibuat hari ini, Sabtu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana paras gula dalam badan masih tinggi.
“Jadi pembedahan hanya boleh dilakukan selepas paras gula turun ke tahap selamat,” katanya.
Tambah bintang filem Maria Mariana itu, sekiranya pembedahan berjalan seperti dirancang, dia dibenarkan pulang sehari selepas prosedur tersebut.
Kalau pembedahan dibuat hari ini, insya-Allah esok saya boleh keluar hospital.
“Kalau semuanya okey, saya harap dapat kembali bertemu pendengar hari Isnin. Kalau tidak, kita jumpa lain kali sahaja,” ujarnya.
Roy turut menzahirkan rasa terharu atas keprihatinan peminat yang tidak putus-putus mendoakan kesihatannya.
Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya. Doa dan sokongan ini sangat saya hargai,” luahnya.
Rata-rata netizen membanjiri ruangan komen dengan ucapan semoga Roy segera sembuh dan dipermudahkan segala urusan.
“Semoga dipermudahkan pembedahan dan cepat sembuh, Roy,” tulis seorang pengguna media sosial.
“Jaga kesihatan, kami tunggu Roy kembali ke udara,” komen seorang peminat.
“Semoga Allah beri kesembuhan dan kekuatan,” ujar seorang lagi netizen.
Untuk rekod, Roy Azman kini menggalas tanggungjawab sebagai penyampai segmen GenSinar Pagi bersama Sharifah Shahirah dan Hefny Sahad di Sinar FM. – HIBGLAM
