“SAYA dalam proses nak bersara sebab rasa dah berusia.”
Demikian perkongsian pelakon Nora Danish yang berhasrat untuk bersara daripada dunia hiburan apabila tiba masanya kelak.
Nora atau nama lengkapnya Nora Mohd. Danish Hanif, 43, bagaimanapun memaklumkan hasrat tersebut bukanlah bersifat drastik sebaliknya merancang hala tuju tersebut selepas membina keluarga baharu.
Tiba masa nak fokus kepada keluarga, sekarang tak boleh lagi, saya kena cari duit untuk sara anak-anak. Insya-Allah kalau saya dah berkeluarga nanti, barulah saya akan fikirkan mengenai perkara itu,” katanya.
Pelakon filem Polis Evo 3 itu turut menegaskan hasrat tersebut bukanlah didorong faktor perkahwinan semata-mata, sebaliknya lebih kepada rasa penat setelah sekian lama bergelar anak seni.
“Semua wanita ingin berkahwin dan memiliki rumah tangga lebih baik serta ada suami yang boleh menjaga kita, memang saya akui itu impian saya.
Tapi saya tidaklah tergesa-gesa nak ke arah itu. Saya letak sepenuh kepercayaan kepada Allah dan biar Dia aturkan semuanya, cepat atau lambat semua saya serah pada Allah.
“Tapi bukan sebab perkahwinan yang menyebabkan saya nak bersara, cuma saya rasa dah penat sebab lama sangat dalam industri,” katanya lagi.
Kembali kepada fitrah dan bertudung sejak lebih setahun lalu, Nora juga menjadikan bekas pengacara MeleTOP, Neelofa sebagai sumber inspirasinya dalam mencorakkan hala tuju hidup.
“Saya jadikan Neelofa sebagai inspirasi, walaupun dah bersara daripada bidang lakonan tapi dia aktif dalam media sosial menyampaikan dakwah.
Saya mahu jadi seperti dia, mungkin fokus saya pula dari sudut perniagaan tapi untuk berlakon saya rasa penatlah,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen jenama pakaian Amber Eid’S Times For Love.
Mengulas mengenai perancangan perkahwinan dengan duda anak tiga yang dikenali sebagai Mickey Ayo, Nora enggan terburu-buru memandangkan kedua-dua pihak mempunyai sejarah kegagalan dalam pernikahan terdahulu.
“Rasa macam terlalu cepat untuk kami berbincang untuk ke arah lebih serius (kahwin). Kami masih mengenal hati budi, masing-masing pun pernah gagal dua kali dalam perkahwinan.
“Jadi saya nak pastikan untuk kenal hati budi dan sebagainya dulu, tak ada fokus pada perkahwinan lagi.
Terlalu awal untuk saya cakap sebab kami baru saja kenal dan terlalu awal untuk saya menyatakan ya atau tidak. Masih dalam penilaian, insya-Allah,” jelasnya.
Sebelum ini, nama Nora kembali menjadi bualan hangat selepas memuat naik foto seorang lelaki berkopiah putih, sehingga mencetuskan teka-teki tentang status hatinya.
Turut tular sebuah kad jemputan dengan huruf M dan N serta tarikh 8 September 2025, sekali gus menguatkan spekulasi kononnya mereka bakal berkahwin.
Namun Nora menafikan khabar angin tersebut dan menegaskan tiada apa-apa perancangan seperti disangka ramai.
Untuk rekod, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif pernah mendirikan rumah tangga bersama Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum berpisah pada 19 Jun 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamed Neqayl, 7.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 2006 dan bercerai dua tahun kemudian. Perkahwinan tersebut dikurniakan seorang anak lelaki, Putra Rayqal, 17. – HIBGLAM
