‘Tak berani cakap orang ‘hantar’, lebih 10 tahun kena ganggu’ 

PELAKON Zara Zya mendedahkan menjadi mangsa gangguan mistik sejak 10 tahun lalu sehingga menganggu kehidupan sehariannya.

Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, berkata, lebih satu dekad mengalami gangguan tersebut membuat dirinya sudah lali selain enggan mengulas sama ada ‘dihantar’ individu lain atau sebaliknya.

“Sudah lebih 10 tahun situasi ini saya lalui. Sebenarnya seram sebab rupa ‘dia’ buruk tapi dia sama saja makhluk Allah SWT.

Apa yang dikongsikan dalam Threads itu adalah pengalaman ‘benda’ itu ada di kawasan rumah dan selalu teman saya memasak sehingga satu tahap rasa ‘woi tepi, sudah-sudahlah!’

“Waktu potong bawang, mata akan jadi pedih berkali-kali ganda pedih tau, macam buta, jadi waktu itu ‘dia’ ada,” katanya kepada HibGlam pada majlis pelancaran program Ramadan Astro, semalam.

Tambah Zara, situasi yang dialaminya ketika ini semakin baik berbanding dahulu apabila gangguan tersebut kerap menghantuinya setiap masa dan lokasi .

“Dulu lagi teruk sebenarnya, memang nampak lagi jelas sehingga kedai kegemaran pun saya tak boleh nak pergi.

“Sekarang alhamdulillah semakin baik tapi sekejap ada, sekejap tiada cuma kita tak sepatutnya takut pada gangguan tersebut sebab kita makhluk lebih mulia.

Apa yang saya boleh cakap, memang gangguan mistik dan dalam keluarga memang hanya saya sahaja yang boleh lihat. Tak berani nak cakap orang ‘hantar’ atau sebaliknya sebab kalau boleh tidak mahu berkongsi terlalu mendalam mengenainya” ujarnya.

Ditanya sama ada pernah berusaha untuk mengelakkan gangguan itu, dia menegaskan pelbagai cara sudah dilakukan sejak 10 tahun lalu.

“Macam-macam ikhtiar sudah saya lakukan, kalau kita sakit luka pun pergi klinik, apatah lagi jadi begini. Jumpa ustaz dan pakar psikiatri semua sudah dilakukan.

Cuma mungkin Allah belum izinkan untuk sembuh sepenuhnya. Sekarang sihat alhamdulillah, tapi untuk sembuh sepenuhnya itu ambil masa.

“Sejak alami gangguan ini, saya banyak amalkan zikir dan perkara yang mendekatkan diri pada Tuhan, itu sahaja yang saya lakukan kalau orang tanya tentang pendinding diri,” katanya lagi.

Terdahulu, Zara dalam Threads berkongsi pengalaman misteri dengan mendakwa kerap berdepan gangguan berupa bayang-bayang di dalam kediamannya.

Katanya, dia boleh melihat entiti lain disebabkan hijabnya yang terbuka dan perkara tersebut bukan pertama kali dialami, sebaliknya sudah bertahun-tahun berdepan insiden serupa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok