‘Makan kawan? Ini bukan pertandingan, Kristal X dahsyat’

TIADA istilah ‘makan’ rakan sepentas, penyanyi Azlan & The Typewriter menyifatkan kumpulan Kristal X bersama vokalisnya, Lan Solo sebagai teman seangkatan dalam industri muzik.

Melihat Lan Solo dan Kristal X sebagai regu dinamik, Azlan atau nama lengkapnya, Nor Azlan Rosle Sallehuddin, 43, juga berasakan kumpulan dibarisi pemuzik yang ditubuhkan sejak usia awal belasan tahun itu terus relevan dan mempunyai kredibiliti tersendiri.

Sebenarnya sebelum masuk industri saya ada tengok persembahan Kristal di Bukit Jalil, Acap pun ada. Waktu itu saya pemuzik, gitaris. Saya boleh berhenti petik gitar bila nampak mereka buat persembahan.

“Punya dahsyatnya Kristal pada usia itu sampai sekarang masih menjaga kualiti yang sama. Jadi tahniah kepada Kristal,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan akhir Konsert Rockolusi Kuasa Dua Kristal X and Azlan & The Typewriter, baru-baru ini.

Azlan mengulas tentang kemungkinan yang bakal berlaku ketika konsert julung kali membabitkan dua kumpulan itu di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari ini.

“Kami dah kenal lama dan pernah terbabit dalam persembahan sama. Bagi saya tak timbul soal ‘makan’ kawan atau menenggelamkan satu sama lain.

Ini bukan pertandingan, lagi pun kita susah di tahun 2026. Secara peribadi, saya kagumi persembahan Kristal serta vokal Lan Solo. Apabila dapat bergabung, kiranya impian saya jadi kenyataan.

“Selain tampil dengan segmen masing-masing, saya dan Lan Solo bakal bergandingan dalam segmen khas yang turut diiringi kumpulan koir. Kena datang tengok untuk ‘nikmati’ keunikan itu,” ujarnya.

Rockolusi Kuasa Dua turut membawa kelainan apabila menampilkan kumpulan koir Noghori Arts School Voice Ensemble (NASVE) yang turut dianggotai anak Lan Solo dan Azlan sendiri.

Penglibatan mereka bukan sekadar hiasan pentas, sebaliknya satu kolaborasi harmoni yang memerlukan disiplin, koordinasi dan kepercayaan tinggi antara pemuzik dan peserta koir,” kata Azlan lagi.

Terdahulu, penganjur konsert, Republic Mokhmah Record mengganggap gabungan Azlan selaku penyanyi hebat dengan julat vokal tinggi bersama Lan Solo dan kumpulannya yang energetik merupakan kolaborasi mantap sekali gus bakal meninggalkan sejarah manis.

Bagi peminat muzik yang ingin membuat tempahan tiket berharga bermula pada kadar RM168, boleh layari laman rasmi ilassotickets.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok