‘Biar mahkamah tentukan, sampai masa kami akan cerita’

PEREKA fesyen duo tersohor, Rizman Ruzaini menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk menyelesaikan isu hutang membabitkan mereka dan pelakon, Datin Intan Najuwa.

Menurut Rizman Nordin, sebagai seorang pereka fesyen yang sudah 20 tahun bertapak dalam industri fesyen, mereka mahu menyelesaikan isu ini secara profesional.

“There’s always two sides of story (setiap cerita ada dua bahagian). Kami sudah berada dalam industri selama 20 tahun. Jadi pastinya kami ingin menyelesaikan kes ini secara matang dan paling profesional.

Biarlah isu ini diselesaikan di mahkamah kerana masih dalam prosiding. Saya mahu menghormati mahkamah.

“Insya-Allah bila tiba masanya nanti pasti akan cerita apa sebenarnya yang berlaku,” katanya ketika ditemui di pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini Raya 2026, hari ini.

Ditanya adakah isu tersebut menjejaskan reputasi baik mereka sebagai antara pereka fesyen terkenal tanah air, kata Ruzaini setiap orang akan melalui jatuh naik dalam dunia perniagaan.

“Saya rasa peniaga-peniaga yang lain pun ada yang lalui hal yang sama. Cuma bagaimana kita mengharungi dan menangani masalah itu.

Soal reputasi, kami bertuah kerana mempunyai pelanggan setia tidak kira walau apa pun yang berlaku. Mereka masih menunjukkan sokongan tanpa berbelah bahagi.

“Disebabkan sokongan merekalah kami berjaya bertahan selama 20 tahun,” jelasnya.

Tambah Rizman, mereka tidak boleh menutup mulut orang yang ingin bercerita atau memberi komen negatif terhadap isu yang melanda mereka.

Saya sentiasa terbuka bercerita tentang perjalanan kami sebagai pereka fesyen. Kalau pernah tonton podcast yang membabitkan saya sebelum ini, saya cerita jatuh bangun apa yang berlaku dalam syarikat.

“Bagaimana kami mengharungi cabaran dan saat-saat getir dalam perniagaan. Semua ini yang membuatkan kami lebih kuat untuk menyelesaikan segala masalah yang mendatang,” ujarnya.

Terdahulu sebelum ini Intan Najuwa mendedahkan suaminya Datuk Ahmad Azraf Azman menang kes saman terhadap Rizman Ruzaini membabitkan tuntutan bayaran semula pinjaman berjumlah RM1.3 juta.

Pendedahan itu dibuat Intan menerusi laman Instagram miliknya dengan memuat naik dokumen penghakiman daripada Mahkamah Tinggi di sini, selepas hampir tiga tahun memilih untuk berdiam diri bagi menghormati proses undang-undang. – HIBGLAM

Foto Oleh : Fariz Rusadio

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok