Kecewa Ainol angkat kaki, Kristal X panggil Acap

PEMAIN dram tarik diri daripada Konsert Rockolusi Kuasa Dua Kristal X and Azlan & The Typewriter pada saat akhir, Kristal X mengakui terkilan dengan tindakan Ainol yang memaklumkan keputusan itu dua minggu lalu.

Vokalis Kristal X, Lan Solo atau nama lengkapnya Muhammad Razlan Mohamed Yusof, 40, berkata, Ainol mewakilkan pengurusnya menyatakan terpaksa berbuat demikian berikutan pertindihan masa dengan satu lagi konsert.

“Memang ketika pengumuman dan sidang media konsert Ainol ada bersama kami hanya beberapa minggu sebelum Konsert Rockolusi Kuasa Dua Kristal X and Azlan & The Typewriter direalisasikan.

Dia ada hantar wakil untuk beritahu tak dapat teruskan (aksi) bersama kami. Agak mengejutkanlah dan kami sedikit kecewa atas alasan jadualnya itu.

“Sebelum ini pun semua persiapan kita dah buat sama-sama. Cuma tinggal tunggu tarikh konsert pada 1 Februari ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan akhir di Studio KX, di sini, semalam.

Begitupun, Lan bersama rakan seangkatan lain berlapang dada selain menyifatkan situasi dilalui menjelang persembahan mega di Zepp Kuala Lumpur itu sebagai dugaan untuk didepani bersama-sama.

Terus fokus dengan persediaan konsert bersama Azlan & The Typewriter, kata Lan dia Sejujurnya tidak pasti jika ada permasalahan lain, namun bercadang menemui Ainol selepas konsert berakhir.

Ada isu lain itu saya tak pasti tetapi kesemua anggota Kristal X dah macam adik-beradik. Bukan tak pernah susah bersama. Sampai tahap dapat duit RM50 pun kami kongsikan.

“Nak buat macam mana kalau dia cakap nak lebih fokus kepada band satu lagi. Kita akur saja dengan keputusan yang diambil.

“Cuma kalau ada permasalahan lain, kita cuba selesaikan. Tengok nanti macam mana, sekarang Kristal X tengah rancak buat persiapan akhir. Mungkin lepas ini boleh jumpa,” ujarnya.

Pada masa sama, kesemua anggota kumpulan itu sepakat merelakan keputusan Ainol, selain berusaha mencari pengisi posisi bagi pemain dram mereka itu.

Memang tiada sesi ‘pujuk memujuk’. Kena profesional, jadi kami perlu cari pengganti segera kerana konsert hanya tinggal beberapa hari saja lagi,” katanya.

Kata Lan, mereka bersyukur mengalu-alukan pemain dram berpengalaman lebih 20 tahun, Acap atau nama sebenarnya, Mohd Nur Asraf Baharuddin, 32, untuk bersama pada malam itu nanti.

Malah, Acap juga adik kepada gitaris, Rody bukan asing buat mereka kerana sudah bersama kumpulan itu sejak hampir sedekad lalu.

Kami ada buat pencarian pemain dram secara ‘online’ tetapi masa sangat suntuk dan sebenarnya kita punya ramai pemain bagus, cuma bagi kami Acap sudah serasi dengan ‘permainan’ Kristal X.

“Lagipun ini konsert, perlukan mereka yang berpengalaman dan mahir. Macam Acap dia sudah kerap bersama kami sejak usia belasan tahun lagi serta tahu semua lagu Kristal X,” tuturnya.

Terdahulu, sepatutnya, Ainol juga kini anggota kumpulan Barbarik menyatakan jadual latihan bertembung dengan Konsert Pentas Barbarik Volume 2.

Konsert terbabit dijadualkan berlangsung pada 31 Januari ini iaitu sehari sebelum sehari sebelum Konsert Rockolusi Kuasa Dua Kristal X and Azlan & The Typewriter.

Sementara itu, tiket konsert anjuran Republic Mokhmah Records yang turut menampilkan kumpulan koir Noghori Arts School Voice Ensemble (NASVE) boleh ditempah di www.lassotickets.com. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok