‘Saya gembira orang ingat, jadi bahagian memori kanak-kanak mereka’

 

 

MEKSIPUN sudah mempunyai nama dalam industri hiburan sejak kecil, pelakon Khayrisyah Kemal tidak pernah berpeluk tubuh menunggu tawaran berlakon.

Sebaliknya, pemilik nama penuh Sittee Khayrisyah Kemal, 23, aktif menghadiri sesi uji bakat bagi memastikan kelangsungan kerjayanya dalam industri seni yang semakin mencabar.

“Saya masih pergi ‘casting’ dan tidak pernah terfikir untuk bersikap pasif atau hanya menunggu tawaran datang.

“Bagi saya, jika benar-benar meminati bidang ini, usaha itu perlu konsisten.

“Mungkin ada masa tawaran kelihatan perlahan, tetapi bergantung kepada sejauh mana kita berusaha sebab itu saya tidak jemu turun padang mencari peluang,” katanya kepada HibGlam pada lawatan media filem Kacau baru-baru ini.

Ditanya mengenai cabaran peralihan daripada pelakon cilik kepada watak dewasa, Khayrisyah mengakui pengalaman membesar di set penggambaran banyak mematangkan sudut pandangannya terhadap selok-belok industri perfileman.

“Sebagai pelakon yang membesar di set, saya banyak belajar daripada kru dan pengarah. Dari situ saya faham cara kerja dan pemikiran mereka.

“Apabila kita tahu menjaga batas pergaulan dan membawa diri dengan baik, orang akan lebih yakin serta menghormati kemampuan kita untuk menggalas watak matang.

“Kita perlu bijak mempamerkan imej diri kepada umum,” jelasnya.

Dikenali dengan watak Malin menerusi drama Keluarga Iskandar, Khayrisyah menganggap gelaran pelakon kanak-kanak yang masih sinonim dengan dirinya bukan satu beban malah sebagai satu bentuk penghargaan.

“Orang masih melihat saya sebagai Malin dan saya selesa dengan perkara itu. Satu pencapaian apabila kita masih diingati.

“Saya gembira apabila peminat menganggap saya sebahagian daripada kenangan zaman kanak-kanak mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini, pelakon Mia Sara Nasuha meluahkan kekecewaan apabila sering ditawarkan watak kanak-kanak walaupun berusia 21 tahun.

Luah pelakon filem Strawberi & Karipap itu, situasi tersebut mendorongnya untuk cuba mengubah persepsi segelintir pihak industri yang masih menganggap dirinya sebagai pelakon cilik. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok