DALAM industri hiburan, tidak semua selebriti mampu bertahan lama. Ada yang hanya popular seketika sebelum tenggelam dan ada juga yang bergerak perlahan tetapi akhirnya berjaya mencipta nama. Ernie Zakri tergolong dalam kelompok kedua, hadir tanpa gimik, berdiri atas bakat, lalu menawan hati khalayak melalui suara.
Dia kini berkelip megah di langit seni tanah air. Kilau itu tidak hadir secara kebetulan, sebaliknya terhasil daripada perjalanan panjang penuh sabar serta pengorbanan.
Tahun lalu menjadi saksi kemuncak kembara seninya apabila meledak dengan deretan lagu hit sebelum menjulang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Kejayaan tersebut disusuli pula dengan tiga pengiktirafan utama Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).
Tirai tahun 2025 ditutup penuh gemilang apabila Ernie dinobatkan Penyanyi Wanita Popular, sebelum menyapu bersih gelaran Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37).
Deretan kemenangan tersebut bukan hanya angka di atas kertas, sebaliknya menjadi bukti keringat, disiplin serta bakat tulen Ernie.
Bertemu mata dengan pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri itu, penulis sempat mengusiknya adakah harga khidmat persembahannya melonjak naik.
Tersenyum manis, Ernie berkata, setiap individu pasti menyimpan impian untuk terus melangkah lebih jauh dalam kerjaya masing-masing, namun kejayaan perlu seiring dengan kedudukan diri.
“Setiap manusia sudah tentu mahu terus berjaya dan melangkah lebih jauh dalam karier mereka. Dalam masa sama, kita juga perlu tahu di mana kedudukan diri.
“Bila bercakap tentang hasil kerja, kualiti persembahan serta komitmen, semua orang mahukan pembaharuan.
“Begitu juga dengan saya. Perkara ini ada saya bincangkan dengan pihak pengurusan. Saya percaya saya layak untuk kadar tertentu,” katanya kepada HibGlam.
Pelantun lagu Aura itu bagaimanapun menegaskan, kadar persembahan dikenakan bukan bertujuan meninggi diri, sebaliknya selari dengan pengalaman serta komitmen diberikan selama bertahun-tahun.
“Nak kata mahal, tidak juga. Ramai rakan artis hebat lain menetapkan kadar jauh lebih tinggi.
“Tetapi dengan apa yang saya berikan selama bertahun-tahun ini, saya percaya kadar tersebut sepadan dengan usaha serta pencapaian saya,” ujarnya.
Ditanya sama ada mahu mengulangi deretan kejayaan pada tahun ini, penghibur berusia 34 tahun itu mengakui perancangan sentiasa disusun rapi bersama label rakamannya, namun tetap berserah kepada ketentuan Ilahi.
“Bila sudah capai sesuatu, kita perlu susun strategi untuk tahun seterusnya. ‘Timeline’ sudah dibincangkan bersama label.
“Lagipula apabila kita sudah berada pada tahap tertentu, kenapa tidak terus terbang lebih tinggi kan?” jelasnya.
Juara pertandingan Bintang RTM edisi 2009 itu turut memaklumkan tahun ini bakal menyaksikan beberapa perancangan besar, khususnya sebagai tanda penghargaan buat peminat setia.
Sejujurnya, banyak perkara saya mahu berikan kepada peminat. Selepas Anugerah Bintang Popular, saya belum sempat ucap terima kasih secara ‘proper’ jadi cara saya menghargai mereka ialah melalui pelancaran album.
“Peminat tahu sejak beberapa tahun lalu saya bercakap tentang mahu menghasilkan dua atau tiga album. Kita tengok bagaimana perancangannya nanti. Saya berdoa agar sapa yang dirancang ini dipermudahkan dan tidak tersekat. Insya-Allah,” tutupnya.
Dalam perkembangan lain, Ernie turut menggalas peranan sebagai duta istimewa pakaian raya jenama Bulan Bintang, bergandingan bersama suami tercinta, Syamel serta permata hati mereka, Khawla.
Pada masa sama, penyanyi itu terus sibuk dengan pelbagai komitmen seni, termasuk rakaman lagu baharu dan projek muzik berkualiti sepanjang tahun ini. – HIBGLAM
