‘Dia sengaja lengahkan’ – Linda Hashim kecewa prosiding tangguh 9 Februari

PROSIDING pengesahan lafaz taklik melibatkan pasangan selebriti, Linda Hashim dan Beego sekali lagi tertangguh apabila Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan tarikh baharu pada 9 Februari depan.

Penangguhan tersebut dibuat hakim syarie, Tuan Fareq Azmi susulan permohonan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 46, untuk mengemukakan pembelaan diri.

Peguam mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, pihaknya telah mematuhi semua prosedur sepanjang prosiding, namun berdepan kekangan daripada pihak responden.

“Sebagai wakil plaintif, kami berada di landasan betul sejak awal dan mematuhi segala proses ditetapkan mahkamah.

Serahan saman serta penyata tuntutan sudah dibuat lebih awal, namun kami menerima maklum balas negatif daripada responden.

“Hari ini kami terpaksa menyerahkan semula dokumen kerana peguam mewakili pihak sana masih belum berwakalah secara rasmi,” katanya kepada HibGlam.

Tambah Fadzilah, mahkamah kemudiannya dimaklumkan Beego mahu melantik peguam sama bagi mewakilinya dalam prosiding tersebut.

“Susulan permohonan itu, hakim membenarkan satu tarikh baharu pada 9 Februari depan bagi memberi ruang pembelaan,” jelasnya.

Sementara itu, Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 42, meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan penangguhan tersebut, namun tetap percaya setiap ketentuan mempunyai hikmah tersendiri.

Saya bukan kecewa sebab belum diceraikan, tapi kecewa kerana proses ini seolah-olah sengaja dilengahkan. Saya tahu dia buat begitu,” ujarnya.

Linda turut menafsir tindakan tersebut bukan atas dasar kasih sayang, sebaliknya berpunca daripada perasaan lain sukar dijelaskan.

“Kalau benar masih sayang, kasih daripada keluarga dan sahabat jauh lebih ikhlas. Itu saya boleh rasa.

Ini bukan soal cinta, tapi sesuatu dalam hatinya membuatkan dia mahu melambatkan semuanya. Saya isteri, saya tahu,” luahnya.

Kemelut rumah tangga pasangan itu mula menjadi perhatian sejak Januari tahun lalu apabila Linda memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.

Pasangan tersebut pernah sah bercerai pada 27 Mac 2023, sebelum mencapai persetujuan untuk rujuk semula pada 9 April tahun sama serta membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak.

Bagaimanapun, Linda mendakwa mereka sekali lagi berpisah beberapa bulan selepas rujuk, sebelum kembali bersama tidak lama kemudian.

Untuk rekod, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, serta Indah Camelia, 6 tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok