PELAKON Abby Abadi mendedahkan tanggungjawab membesarkan anak-anak sememangnya dipikul penuh dirinya sejak mereka dilahirkan, sekali gus menamatkan persoalan segelintir pihak mengenai isu penjagaan.
Ujar Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, soal hak jagaan tidak pernah menjadi perebutan kerana anak-anak berada bersamanya sejak kecil.
“Dari kecil anak-anak semua dengan saya.
Tak pernah berebut hak penjagaan atau perkara lain sebab memang saya penjaga mereka sejak awal,” katanya dalam Instagram Story.
Penjelasan itu dibuat susulan pertanyaan seorang individu dalam media sosial yang ingin mengetahui sama ada anak-anaknya tinggal bersama atau berasingan.
Kenyataan tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ramai memuji ketabahan pelakon siri Gerak Khas itu dalam membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal suatu ketika dahulu.
“Hebatnya seorang ibu, dari dulu sampai sekarang tetap kuat demi anak-anak.
Tak semua wanita mampu lalui fasa itu, Abby memang luar biasa.
“Anak-anak membesar dengan baik sebab doa dan pengorbanan seorang ibu,” tulis netizen.
Ada juga yang turut menyifatkan Abby sebagai figura ibu berjiwa kental, sabar serta tidak pernah menjadikan kisah silam sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab.
Untuk rekod, Abby dan Norman Hakim mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum memilih jalan berasingan pada 2009.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim.
Selepas perceraian, Abby membina kehidupan baharu bersama Faizal Zakaria, manakala Norman berkahwin dengan Memey Suhaiza pada 2011. – HIBGLAM
