Lima Selebriti tepis tuduhan songsang

DUNIA glamor hiburan tempatan tidak pernah sunyi daripada bisik-bisik liar. Di sebalik limpahan populariti dan pujian menggunung, ada selebriti terpaksa menelan pahit tuduhan melampau hanya kerana secebis imej, gaya perwatakan atau watak lakonan.

Senario tersebut semakin rancak apabila media sosial dijadikan gelanggang spekulasi tanpa sempadan. Tuduhan dilontar sesuka hati, reputasi digadai, maruah dipersoal tanpa ruang pembelaan adil.

Lebih menyedihkan, label songsang sering disematkan hanya berasaskan persepsi luaran, kecenderungan fesyen atau keberanian menghidupkan watak mencabar dalam karya seni.

Gala minggu ini menampilkan beberapa selebriti tempatan berdepan tuduhan sensitif, namun memilih berdiri teguh mempertahankan diri, karier serta prinsip peribadi.

Alvin Chong

Wajah ‘jambu’ dan penampilan bersih sering menjadi punca si jejaka Tionghoa, Alvin Chong dilabel secara melulu oleh netizen.

Sejak awal pembabitannya dalam industri seni, pelakon juga penyanyi itu kerap berdepan spekulasi orientasi seksual.

Pemilik nama lengkap sebenarnya Alvin Chong Chean Wah itu secara konsisten menafikan dakwaan hidup songsang, malah menegaskan dirinya lelaki lurus serta tidak pernah menjalin hubungan sejenis.

Tuduhan sering muncul semula setiap kali dia berkongsi momen bersama rakan lelaki negara asing dalam media sosial.

Menyedari persepsi awam, Alvin pernah berusaha mengubah penampilan termasuk menggelapkan tona kulit demi kelihatan lebih maskulin dan mempelbagaikan karakter lakonan.

Khai Bahar

Nama Khai Bahar tidak pernah sunyi daripada tuduhan liar sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Penyanyi popular itu beberapa kali berdepan fitnah berkait gaya hidup songsang, terutama sepanjang 2024 dan 2025.

Kontroversi tercetus apabila pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin itu dituduh bercuti di Langkawi bersama rakan lelaki ketika ibunya dikatakan sedang sakit.

Dakwaan tersebut ditepis tegas, malah dia memilih memaafkan pemfitnah sambil mengingatkan orang ramai agar tidak bercakap tanpa bukti.

Isu kembali memuncak pada Mei 2025 selepas video boomerang bersama seorang lelaki tular dalam media sosial.

Kekeliruan terjawab apabila individu berkenaan dikenal pasti sebagai adik iparnya sendiri, sekali gus memperlihatkan sikap meluru netizen dalam membuat andaian.

Hael Husaini

Nama Hael Husaini antara selebriti paling kerap terpalit spekulasi sensitif, terutama berkaitan orientasi seksual.

Kontroversi terbesar tercetus apabila dirinya didakwa berhibur di sebuah kelab malam gay di Itaewon, Korea Selatan.

Pemilik nama sebenar Hal Husaini Razmi itu tampil tenang menjelaskan kehadirannya di lokasi tersebut berkait tugasan kerja melibatkan program televisyen dan memerlukan kerahsiaan.

Pihak pengurusan turut mengambil langkah undang-undang terhadap penyebar fitnah.

Gaya fesyen metroseksual serta perubahan imej wajah juga sering dijadikan alasan netizen untuk menuding jari, sedangkan Hael konsisten menegaskan fokus utama hanyalah kerjaya seni.

Tambahan pula, penyanyi dan komposer itu beberapa kali dikaitkan dengan rakan artis wanita, sekali gus menafikan spekulasi tidak berasas terus berlegar.

Fify Azmi

Sering muncul dengan watak lasak dan perwatakan tomboi, pelakon Fify Azmi turut tidak terlepas daripada tuduhan songsang. Label tersebut muncul berulang kali setiap kali namanya menghiasi layar drama.

Pemilik nama sebenar Nur Afiqah Mohamed Azmi itu mengakui sedar akan persepsi sedemikian, namun enggan menyalahkan sesiapa membuta tuli.

Baginya, imej watak tidak seharusnya disamakan dengan realiti kehidupan peribadi.

Wanita berusia 35 tahun itu turut menjelaskan dirinya menjalani kehidupan normal dan pernah melalui beberapa episod percintaan bersama lelaki sebelum ini, namun kisah peribadi jarang diketengahkan kerana memilih menjaga privasi.

Zarif Ghazzi

Pucuk muda Zarif Ghazzi menjadi antara wajah baharu paling banyak diperkatakan selepas berani memegang watak lelaki homoseksual dalam drama fenomena Seribu Tahun. Keberanian itu mengundang pujian, namun turut membuka ruang spekulasi liar.

Babak tular dan lakonan berkesan menyebabkan Zarif atau nama sebenarnya Zarif Farahi Effie Ghazzi itu menerima pelbagai mesej peribadi mempertikaikan seksualitinya.

Pelakon berusia 22 tahun itu menegaskan semua watak dilakonkan atas dasar profesionalisme serta cabaran seni, bukan cerminan kehidupan peribadi, namun stereotaip masyarakat sukar dikawal walaupun penjelasan diberi berulang kali. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok