Lelaki berbangsa Tionghua, Diniey Ng kini tunang Didi Astillah

DETIK istimewa tercipta buat penyanyi dan pelakon Didi Astillah apabila selamat bergelar tunangan kepada lelaki pilihan hatinya, Diniey Ng, semalam.

Dalam majlis tersebut, Didi atau nama lengkapnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 29, tampil anggun mengenakan baju kurung berwarna merah jambu senada dengan tunangnya yang berbaju Melayu.

Difahamkan, hari bahagia pelantun lagu Fikirkan Kamu itu diadakan secara tertutup di sebuah hotel mewah di Kuala Lumpur dan diserikan dengan kehadiran ahli keluarga serta rakan-rakan terdekat.

Pada masa sama, kakaknya yang juga penyanyi iaitu Bella Astillah dilihat sebak menyaksikan adiknya melangkah ke fasa baharu dalan kehidupan.

Malah, tular sebuah video TikTok memaparkan Bella mengesat air matanya secara sembunyi mencuri tumpuan ramai.

Turut kelihatan hadir memeriahkan majlis ialah keluarga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang tampil menggayakan busana berwarna biru lembut, senada dengan keluarga Bella.

Kesemuanya menggayakan baju berwarna biru lembut sama seperti keluarga Bella.

Sebelum ini, Didi menerima kejutan lamaran daripada Diniey pada sambutan Tahun Baharu 2026.

Didi menerima lamaran tersebut yang disifatkan sebagai pembuka 2026 yang manis.

Menerusi video dikongsikan, Diniey dilihat melutut sambil menyerahkan sebentuk cincin ketika acara konsert ambang tahun baharu di Sunway City Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor.

Lelaki berbangsa Tionghua itu kemudian bersalaman dengan ibu Didi, Siti Zarina Roslan, yang turut berada di sisi mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok