‘Masing-masing ada benda nak dikejar’ – Syazwan Zulkifli tangguh kahwin

KEKANGAN masa menjadi salah satu punca pelakon Syazwan Zulkifly memilih untuk menangguhkan perancangan mendirikan rumah tangga dengan buah hatinya yang juga seorang pramugari dikenali sebagai Syawariah Zulkifli.

Pernah menyuarakan hasrat mahu berkahwin pada tahun lalu, Syazwan, 39, berkata, perkara itu berlaku disebabkan kedua-dua pihak masih ada komitmen yang perlu dilunaskan sehingga terpaksa menunda perancangan menamatkan zaman bujang.

“Asalnya memang ada niat macam itu (kahwin) tetapi kekangan masa dan masing-masing masih ada benda yang nak dikejar lagi.

Jadi kami kejar apa yang boleh, hal kahwin boleh buat selepas itu.

“Sebenarnya kalau kata esok dia nak kahwin saya jalan saja. Saya okey saja sebenarnya, umur pun sudah 39 tahun,” katanya kepada HibGlam di set penggambaran drama Pak Su Ammara di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, keputusan untuk menanggunguhkan pernikahan tidak pernah mengundang perbalahan dan memuji kekasihnya wanita yang matang.

“Tiada perbalahan dan masalah pun ditambah pula dia lebih matang daripada saya, semuanya okey.

Ada juga kami berbual ‘eh jadi ke kahwin tahun ini?’ sebab kursus kahwin pun kami tak ambil lagi.

“Jadi, ada benda yang wajib tak buat lagi dan macam mana nak pergi ke langkah seterusnya? Namun kami memang ada bincang bila nak pergi cuma tiada sebarang ketetapan lagi,” jelasnya.

Syazwan turut memaklumkan campur tangan keluarga juga tidak pernah berlaku dan keputusan yang diambil adalah atas persetujuan bersama.

“Isu keluarga pun tidak timbul sebab ibu bapanya sudah tiada, sementara mak saya pula sudah meninggal dunia. Ayah pun okey dan ikut saja kalau saya sudah bersedia.

Saya ikut sahaja aturan Tuhan. Mungkin lepas raya dua tahun lagi, kita pun tak tahu dan okey saja,” ujarnya.

Terdahulu, Syazwan dan Syawariah pernah mengikat pertunangan pada 31 Ogos 2019 di kediaman keluarga kekasihnya di Taiping, Perak, selepas 10 tahun berkawan rapat.

Namun, mereka sepakat memutuskan tali pertunangan pada 31 Mac 2020.

Bagaimanapun, ikatan kasih mereka bertaut kembali dan Syazwan juga memberitahu perancangan mereka untuk berkahwin pada tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok