‘Saya okey orang kongsi foto lama, bukan buat salah’

PELAKON Kamal Adli sedikit pun tidak berasa terganggu apabila wujud segelintir pihak yang memuat naik semula gambar lama bersamanya dalam media sosial, malah menganggap perkara tersebut sekadar kandungan tanpa sebarang isu tersembunyi.

Ujar Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, perkongsian foto lama bukan satu kesalahan selagi tidak melanggar batas dan tidak mengaitkan nama mana-mana pihak.

“Pertamanya, maaf lambat sebab selalu sangat muncul (di Threads), takut ada yang sudah mula benci. Kalau benci tolong block saya.

“Apa pun saya okey sahaja kalau ada orang kongsi semula gambar lama. Bukan buat salah pun.

“Itu sekadar kenangan. Kita semua manusia, tak ada isu besar pun,” katanya dalam Threads.

Bagaimanapun, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu mengingatkan agar setiap individu menjaga adab dan batas, khususnya melibatkan hubungan lelaki dan wanita, supaya tidak terjerumus ke perkara tidak sepatutnya.

“Lelaki ke perempuan, sama sahaja. Jangan buat sesuatu secara diam-diam atau sorok-sorok.

“Itu dosa. Allah murka, saya pun marah,” katanya tegas.

Sejak kebelakangan ini, tular beberapa hantaran netizen yang berkongsi semula foto lama mereka ketika bergambar bersama Kamal sekali gus mengimbau kenangan bersama pelakon tersebut.

Layanannya terhadap peminat tidak pernah berubah membuatkan rata-rata netizen menyifatkan bapa satu anak itu antara selebriti yang merendah diri dan tidak berlagak serta pandai membawa diri dalam industri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok