TINGGAL seminggu sahaja lagi untuk melangkah ke pusingan suku akhir, namun perjalanan Krisya dalam Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) terhenti di minggu ke sembilan apabila dia diumumkan tersingkir pada konsert yang berlangsung semalam.
Pada malam konsert yang bertemakan lagu pilihan penonton, Krisya menyampaikan lagu Hening Rindu daripada Marsha Milan.
Namun disebabkan masalah kesihatan dan sedikit gangguan, menyebabkan persembahan Krisya kurang menyengat sekali gus mendapat markah tercorot iaitu sebanyak 54.5 peratus.
“Saya mempunyai masalah kesihatan sejak dua minggu lalu. Saya sudah jumpa doktor dan ambil suntikan, tetapi masih belum pulih sepenuhnya.
“Sewaktu awal persembahan, saya mengalami masalah untuk mendengar bunyi muzik kerana sorakan penonton lebih kuat daripada muzik. Intro lagu saya pula agak perlahan. Di situ saya sudah mula panik dan hilang konsentrasi.
“Sepanjang persembahan saya rasa macam tak stabil seolah-olah hilang pertimbangan. Ketika itu saya sudah tahu bahawa saya tak akan dapat selesaikan persembahan dengan baik,” katanya ketika ditemui di sidang media sejurus tamat konsert.
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Keluang Man itu lagi, dia sedikit terkilan kerana anak sulungnya yang tinggal di Bosnia tidak sempat untuk menonton persembahannya.
“Anak saya akan tiba di Malaysia pada 1 Januari nanti. Malangnya dia tak sempat nak lihat persembahan saya di pentas GV12. Tetapi mungkin saya akan bawa juga dia datang menonton konsert untuk memberi sokongan kepada peserta lain,” kongsinya.
Sementara itu, juri tetap GV, Datuk Ramli MS berkata, lagu Hening Rindu terlalu besar untuk Krisya sehingga dia tidak dapat memberikan persembahan yang baik.
“Ya, lagu tersebut terlalu besar untuk dia. Marsha memiliki ‘range’ yang besar. Untuk Krisya kita kena turunkan ‘key’. Tetapi biarpun turunkan ‘key’ masih agak susah untuk dinyanyikan.
“Dia mempunyai masalah pernafasan. Itu pun saya sudah ‘pause’ di beberapa bahagian agar dia dapat ambil nafas. Lagu ini memang berat,” ujarnya.
Dengan tersingkirnya Krisya maka tinggal lapan lagi peserta yang akan meneruskan perjuangan di minggu suku akhir iaitu Nubhan, Mark Adam, Iskandar Ismail, Ruri Republik, Freshies, Mendua, Mell Sakura dan Shae. – HIBGLAM
