Sweet Qismina gemuruh, Qi Razali tak suka kalah

TIDAK pernah bermimpi, itu yang berlegar-legar dalam benak fikiran Sweet Qismina dan Qi Razali sehingga hari ini selepas diumumkan sebagai pelakon terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) pada November lalu.

Bukan menidakkan kejayaan sendiri, mereka menganggap kemenangan yang diraih sesuatu yang mengejutkan terutama Sweet yang bersaing dengan aktres senior, manakala Qi pula dianggap sebagai calon ‘underdog’.

Membingkaikan dua wajah cemerlang itu dalam sisipan terakhir HibGlam untuk tahun 2025, Sweet mahu pun Qi enggan hanyut dalam keseronokan itu sebaliknya melihatnya sebagai satu tugas tanggungjawab besar yang perlu digalas selepas ini.

Takut, simpan trofi

Ibarat berada di puncak kerjaya, Sweet bukan merangkul satu trofi tetapi turut dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASEAN International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA 2025) dan Aktres Filem Popular Anugerah Bintang Popular Ke-37.

REZEKI tidak pernah salah alamat, selepas sekian lama bekerja keras Qi dan Sweet akhirnya merangkul gelaran pelakon terbaik menerusi filem Babah yang menyaksikan gandingan mereka sebagai bapa dan anak. 

Disebabkan kemenangan ‘hatrik’ tersebut, ramai melabel 2025 adalah ‘tahun Sweet Qismina’.

Pemilik nama penuh Farhanna Qismina Supandi itu berkata, perkara yang paling dibimbangi ketika ini adalah jangkaan tinggi penonton terhadap kualiti lakonannya.

“Selepas saya menang, ramai cakap tak sabar nak tengok karya saya seterusnya, itu memang buat saya gemuruh.

Saya manusia biasa, ada juga hari bodoh dalam lakonan dan pasti orang akan terus menilai serta menghakimi kelayakan saya menang trofi sebelum ini.

“Sebab itu saya cakap kemenangan memang seronok tetapi hadir dengan tanggungjawab baharu dan sebab itu berkali-kali saya beritahu akan terus berusaha beri lakonan lebih berkualiti,” katanya.

Dia bagaimanapun mengelak dirinya dibebani dengan tanggungjawab atau jangkaan tinggi orang ramai kerana bimbang memberi impak terhadap kesihatan mentalnya.

“Selalunya bila terlampau tertekan dan banyak berfikir, banyak benda tak menjadi.

“Jadi, lebih baik terus berpijak di bumi nyata, terus merendah diri dan belajar banyak benda,” kongsi aktres berusia 28 tahun itu.

Isteri kepada pelakon Adam Lee itu juga mengakui hatinya berdebar setiap kali melihat trofi-trofi kemenangannya kerana setiap satunya hadir dengan komitmen.

“Sebenarnya selepas seminggu menang FFM, saya simpan trofi dalam kotak semula sebab rasa gerun bila tengok lama-lama selain nak elak diri jadi riak terutama apabila ramai ucap tahniah.

Sebab saya kenal diri sendiri, kalau seronok sangat nanti lupa diri kemudian menangis sebab tak capai ‘expectation’ sendiri.

Sebab itu letak tepi dulu semua kemenangan ini dan teruskan kerja macam biasa,” ujarnya.

TIGA kemenangan yang tak pernah terjangka, Sweet mengakui tidak pernah memasang impian memenangi trofi pelakon terbaik kerana berasakan lakonannya belum setanding pelakon senior lain. –  Solekan | IQBAL RAFAEL

Meski sudah dua dekad bergelar anak seni sejak usianya sembilan tahun, Sweet meletakkan dirinya sebagai pelakon baharu untuk fasa dewasa.

“Saya anggap diri sendiri masih hijau untuk dunia lakonan peringkat dewasa yang baru bermula pada usia 19 tahun.

Rasa masih belum layak duduk sebaris dengan pelakon senior lain tetapi saya dalam usaha ke arah itu, doakan,” jelasnya yang berjanji untuk lebih teliti dalam menterjemahkan setiap watak selepas ini.

Dalam pada itu, dia sempat mendedahkan pernah tiga kali bermimpi dirinya hamil yang menurutnya perkara tersebut membawa maksud akan menerima rezeki besar.

“Tiga kali saya mimpi Tuhan hadirkan zuriat dalam perut tetapi realitinya masih tiada rezeki lagi sehingga hari ini.

“Namun kalau direnung semula, tiga kali mimpi itu mungkin tiga kali rezeki saya menang trofi. Mungkin juga itu rezeki lain yang Tuhan nak beri,” katanya lagi.

Tak suka kalah

Sementara Qi pula mengakui kemenangan FFM34 yang merupakan trofi pertama sejak bergelar anak seni membuka banyak pintu rezeki selain akan menjadi titik pembuktian kemampuannya menyerlahkan sisi berbeza dalam lakonan.

Kalau nak rumuskan tahun ini, semuanya menjurus kepada malam FFM34 lalu. Nak cakap sebagai titik perubahan, tidaklah sebenarnya sebab lepas kahwin pun dah banyak berbeza.

“Cuma kemenangan itu memang jadi satu titik tolak baharu dalam kerjaya seni, terbayar semua penat lelah dan segala emosi yang dicurahkan sepenuh jiwa dalam Babah,” ujarnya.

Sambung Qi, banyak pengorbanan dilakukan untuk filem tersebut termasuk pernah dipertikai segelintir pihak kelayakannya memegak watak babah.

“Kalau nak ikutkan banyak yang saya tabur untuk filem ini, pengalaman dan ilmu.

“Mungkin ada yang fikir saya tidak melakukan banyak persiapan tetapi hakikatnya saya sudah beri semuanya dalam kadar maksimum sebab orang nampak saya masuk set penggambaran seperti jadi diri sendiri saja,” jelasnya.

BAKAL bergelar bapa, Qi mengakui gemuruh dan mengharapkan proses kelahiran zuriatnya dipermudahkan.  –  Tatarias | NANA CHAH

Dia yang juga bekas pemain dram kumpulan OAG mendedahkan tidak menyukai momen menuntutnya menerima realiti tewas dalam mana-mana anugerah yang mencalonkan namanya.

Qi bagaimanapun mengakui meletak harapan tinggi untuk FFM34 kerana sudah memberi lebih 100 peratus komitmen untuk watak babah yang berjaya membuatkan jutaan penonton mengalirkan air mata.

Setiap kali tercalon dalam mana-mana acara anugerah atau pertandingan, harapan untuk menang memang tinggi menggunung. Saya tak suka kalah sebenarnya.

“Dulu ketika bersama OAG, pernah juga kalah kemudian saya menangis tapi ketika itu umur baru 17 tahun, darah muda nak menang.

“Selepas itu, saya belajar bagaimana nak kendali sebarang jangkaan. Kalau menang syukur tetapi jika kalah perlu tenangkan diri dan terima bukan rezeki,” tuturnya.

Aktor berusia 48 tahun itu mengakui kemenangan yang diraih membuka lebih banyak pintu rezeki menerusi pelbagai tawaran filem dan drama.

“Saya akui kemenangan itu membuka lebih banyak rezeki. Ada pengarah drama yang tidak pernah panggil saya, sekarang sudah tawarkan kerja.Ingatkan dia tak suka saya dulu.

Watak yang saya terima juga nampaknya makin berat. Ada juga terfikir adakah mereka mahu ‘test’ kemampuan saya tetapi tetap berikan hasil terbaik sebab saya jenis akan campak semua jiwa dalam mana-mana watak.

“Tetapi apabila umur sudah meningkat begini, saya pun tak mahu asyik bawa watak ayah saja, mahu juga serlahkan sisi karakter lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Qi atau nama penuhnya Qushairi Mohammed Razali berkata, dia kini berusaha membuang skeptikal segelintir individu yang merasakan dirinya tidak mampu menjayakan naskhah aksi.

“Sekarang dalam usaha naikkan berat badan sebab ada benda tahun depan saya nak buat, keluar dari kotak selesa.

Orang selalu ingat saya tak boleh buat filem aksi dan beri watak tipikal saja, saya pun tak tahu kenapa.

“Apa yang saya kurang setuju adalah bila nak buat filem gengster, cari orang yang muka ganas atau perangai kasar. Namun itu cara mereka, sebab setiap orang bebas memilih skrip yang mereka mahu,” jelasnya yang bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok