Abang Vanessa Reynauld diuji masalah tulang belakang

PENYANYI Vanessa Reynauld mendedahkan abangnya, Christopher yang menghidap sindrom Down tidak lagi boleh bergerak gara-gara mempunyai masalah di tulang belakangnya.

Menurut Vanessa atau nama lengkapnya, Vanessa Ben Reynauld, 25, meskipun menjalani rawatan, mereka sekeluarga reda keadaan abangnya tidak akan pulih seperti sedia kala.

“Baru-baru ini abang saya kehilangan mobiliti jadi dia tak boleh jalan dan angkat tangan. Makin teruklah.

“Sebelum ini, sekurang-kurangnya dia boleh jalan sendiri tapi kena ada orang yang tolong dia tapi sekarang ‘bedridden’.

“Doktor kata tulang belakang dia macam ditekan, kalau nak buat rawatan pun kemngkinan yang dia akan baik macam dulu sangat rendah,” katanya  semasa sidang media dan showcase Vanessa Reynauld baru-baru ini.

Bagaimanapun, peserta program Ceria Popstar 3 itu tidak mengetahui punca sebenar keadaan abangnya mulai memburuk sejak Mei tahun ini.

“Sebelum ini abang saya sindrom down, kadang-kadang ada pneumonia. Bila dia masuk hospital, saya akan jaga dia sampai jururawat dah kenal saya.

“Sekarang kami tidak tahu kenapa tiba-tiba timbul masalah ini sebab sebelum ini dia senang dijaga,” ujarnya.

Pada masa sama, dia teruja apabila melihat perkembangan abangnya yang mula membaik kira-ira awal Disember lalu.

“Sekarang kami dah bagi dia banyak vitamin dan cuba paksa dia untuk duduk. Dua minggu lalu dia dah boleh duduk sendiri, mungkin sebab dia kuat semangat.

“Dia pun cuba nak duduk dan bangun sendiri. Saya rasa permulaan yang bagus.

“Saya sangat gembira dan harap dia boleh berdiri pula selepas ini,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Vanessa menjayakan showcase pertama khas buat peminat di HuoTang B.LAND pada Jumaat lalu.

Acara yang dihadiri kira-kira 150 penonton disajikan dengan beberapa buah lagu termasuk ⁠I Have Nothing, Through The Fire, ⁠Andai Itu Takdirnya, Rindu Separuh Nyawa, Diskoria dan Sinaran.

Selain itu, dia juga melancarkan single pertamanya dalam bahasa Mandarin berjudul Would You Leave Me Too? istimewa buat peminat berbangsa Cina. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok