PENGARAH filem Duyung: Legenda Aurora, Profesor Madya Datuk Dr. A. Razak Mohaideen memaklumkan poster filem tersebut yang tular sehingga menjadi bualan netizen sejak beberapa hari lalu hanyalah gimik semata-mata.
Menurutnya, tindakan tersebut adalah sebagai teknik promosi untuk menarik perhatian umum mengenai filem Duyung selain mengajak penonton ke pawagam.
“Poster itu memang gimik, pihak kami akan keluarkan poster baharu nanti. Kita mahukan penonton lebih waspada mengenai filem ini.
“Kami mahu rakyat Malaysia menonton dan nak orang ramai bercakap mengenai filem ini.
“Jadi, ini adalah sebahagian daripada gimik, orang kata ‘bad news still a good news‘” katanya kepada HibGlam pada majlis sidang media dan tayangan gala di sini, semalam.
Sedar dengan kecam berbakul-bakul diterima daripada netizen, dia tidak berasa kecil hati apabila ramai melemparkan komen negatif mengenai filemnya.
Baginya, individu yang mengecam tidak memahami mengenai cara sebenar industri perfileman bergerak dan hanya melihat secara luaran sahaja.
“Saya tak ambil hati sebab kalau orang faham pasal konsep industri bisnes ini, mereka akan tahu yang poster bukan pengarah buat dan itu adalah kerja bahagian promosi.
“Orang yang faham pasal bisnes perfileman sahaja tahu dan kami pun tak boleh jadi sebodoh orang yang bercakap itu, lebih baik kami diam sahaja.
“Orang yang tak berilmu pula akan mengiyakan benda-benda itu. Sebenarnya kebodohan ditunjuk oleh orang yang tak berilmulah,” ujarnya.
Terdahulu, poster filem Duyung: Legenda Aurora menjadi bahan kecaman ramai dalam media sosial kerana dikatakan tidak memaparkan kualiti yang dianggap teruk dari segi suntingan.
Filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta itu dibintangi Anna Jobling, Maya Karin, Ayie Floor88, Saiful Apek, Aniq Aqil dan Yasmin Hani.
Naskhah tersebut akan mula ditayangkan pada 25 Disember depan di pawagam seluruh negara. – HIBGLAM
