Anak jadi penyondol? Komen dulu, nanti saya jawab – Abby Abadi

PELAKON, Abby Abadi tidak akan berdiam diri apabila akan tampil membuat penjelasan tentang anaknya, Marissa Dania Hakim selepas tular kisah dituduh menjadi ‘penyondol’ rumah tangga orang lain.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya, Abby atau nama lengkapnya Arbaiyah Abdul Manan memberitahu, buat masa ini dia hanya membiarkan netizen ‘mengata’ tentang isu tersebut, sebelum dia tampil membuat penjelasan.

“Tentang isu yang viral ini, tidak mengapa. Sila komen-komen dulu. Cari pahala ya. Nanti saya jawab.

“Memang sedap bersangka-sangka, menambah cerita dan menunding jari pada orang ini,” tulisnya.

Dalam perkongsian tersebut, pelakon yang popular menerusi drama Gerak Khas itu turut memuat naik foto bersama Marissa yang kini berusia 18 tahun dengan menggunakan muzik latar lagu Tak Suka Tak Apa nyanyian kumpulan Screen.

Terdahulu, tular dalam media sosial apabila seorang wanita yang juga ibu kepada dua cahaya mata mendedahkan, rumah tangganya telah diganggu orang ketiga.

Dalam pendedahan tersebut, wanita yang menggunakan akaun X @umisyamazlan itu telah memetik nama Marissa Dania Hakim, yang dikatakan individu ‘penyondol’ dalam rumah tangganya.

Sementara itu, usaha HibGlam untuk mendapatkan kenyataan lanjut daripada Abby tidak berjaya apabila pelakon itu mematikan telefon. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok