‘Ada tatu di tangan, pakailah baju lengan panjang’

TERPANGGIL memberikan pandangan, pelakon Adam Corrie berharap individu mualaf yang mempunyai tatu di tubuh menyembunyikan bahagian tersebut.

Adam atau nama lengkapnya, Adam Corrie Lee Abdullah, 57, berkata, mereka yang mendapat hidayah Allah wajar mengelakkan diri daripada mengundang fitnah.

“Apabila kita sudah terima syahadah, apa yang mampu kita elakkan, kita cuba elakkan.

Contohnya (kalau) ada tatu di tangan, pakailah baju berlengan panjang.

“Bukan kerana malu dengan manusia tetapi mahu menjaga adab dan mengelakkan fitnah,” katanya dalam perkongsian di Threads.

Dalam hantaran sama, Adam yang memeluk Islam hampir dua dekad lalu turut berkongsi hadis berkaitan tiada lagi dosa lalu sebaik menjadi saudara baru.

Semua dosa lampau dihapuskan termasuklah tatu yang dibuat sebelum syahadah. Ini berdasarkan hadis, ‘Islam itu menghapuskan dosa-dosa sebelumnya.’ (HR Muslim),” tulisnya.

Begitupun, akui aktor yang terkenal sebagai pelakon aksi itu menyatakan perkara disarankan merupakan pilihan, bukan satu paksaan.

Selain itu, membuang tatu juga tidak diwajibkan sekiranya tindakan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kerana Islam tidak pernah membebankan penganutnya.

“Namun, sebagai seorang Muslim, perbuatan itu hendaklah disesali dan tidak diulangi lagi,” ujarnya.

Adam yang juga Tokoh Saudara Kita 2017 sempena Maal Hijrah aktif menyuarakan pandangan berkaitan isu semasa menerusi laman sosialnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok