‘Bila tertekan, al-Quran, solat tahajud sangat membantu’

SERING diuji, penyanyi Arrora Salwa mengakui lebih mendekatkan diri dengan Tuhan sebagai benteng menjaga kesihatan mental, terutama ketika berada di titik paling rapuh.

Ujar Arrora atau nama sebenarnya Salwa Md. Razak, 40, amalan kerohanian menjadi pendinding dan penawar paling kuat dalam mengembalikan ketenangan.

“Jangan tengok siapa yang menyampaikan informasi, tengok apa yang dia sampaikan.

“Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, berada di titik terendah, al-Quran sangat membantu.

“Tahajud sangat membantu, solat hajat Ya Jabbar itu pun sangat berkesan,” katanya dalam TikTok menjawab persoalan peminat tentang bagaimana dirinya menjaga kesihatan mental.

Tambah pelantun lagu Ahmad itu, manusia sering mencari bahu luar untuk bergantung, sedangkan sokongan paling kuat sebenarnya bermula dari dalam rumah sendiri yang boleh dijadikan tempat meluahkan segala gundah.

“Keakraban dalam keluarga sangat penting.

“Sebab itu dalam apa keadaan pun, kita kena perbaiki silaturahim dengan keluarga.

“Itulah tempat paling selamat untuk kita luahkan apa yang kita rasa,” kongsinya.

Perkongsian bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) itu menerima pelbagai respons daripada netizen yang rata-ratanya menyokong pesanan tersebut.

“Betul, bila jiwa serabut, Quran penawar paling cepat memujuk hati,” tulis seorang netizen.

“Saya suka nasihat awak, kadang-kadang kita lupa keluarga sendiri tempat paling selamat untuk mengadu,” ujar pengikut.

“Apapun dalam dunia ini, bila kita rasa susah, maksudnya kita kena kembali kepada Allah, ada lah tu benda yang tidak kena,” komen pengguna media sosial.

Selain Arrora, beberapa artis lain seperti Nabila Huda dan Neelofa turut mengambil pendekatan menjaga kesihatan mental dengan meminimumkan pendedahan kepada komen negatif netizen dalam media sosial. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok