Insiden kereta mengundur, anak Issey juga nyaris dilanggar

PENYAMPAI radio dan pelawak Issey Fazlisham berdepan detik cemas apabila isteri dan anaknya hampir dilanggar sebuah kereta di hadapan sebuah kedai haiwan di Puncak Alam baru-baru ini.

Berkongsi momen ‘ngeri’ tersebut, Issey atau nama penuhnya, Fazlisham Mat Husin, 35, berkata, kejadian tersebut berlaku ketika isteri bersama dua anaknya iaitu Cataleya Humairah dan Faaeq Fathiah serta seorang anak saudara singgah ke kedai tersebut selepas pulang dari sekolah.

“Ketika insiden itu berlaku, Faaeq berada berdekatan pintu depan kedai berkenaan  dan kereta dipandu seorang lelaki  tiba-tiba berundur dan melanggar seorang kanak-kanak perempuan (mangsa).

“Syukur pada Allah SWT, Faaeq selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun hampir dilanggar juga,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Berikutan kejadian itu, Faaeq trauma dan hanya mendiamkan diri.

“Alhamdulillah, mereka semua selamat. Faaeq agak trauma dan jadi pendiam pada malam kejadian, begitu juga isteri saya.

“Katanya, bunyi hentaman kereta yang mengundur itu sangat kuat seperti kedai nak runtuh,” katanya.

Menurut Issey lagi, ketika anak saudaranya memaklumkan kejadian tersebut, dia yang berada di rumah terus berlari ke kedai tersebut bagi mencari isteri dan dua anaknya.

“Nasib baik rumah kami tak jauh dari kedai itu dan terus berlari ke situ.

“Memang risau sangat waktu itu kerana tidak tahu keadaan mereka macam mana.

“Anak buah cuma beritahu ada orang langgar kedai kucing.

Sementara itu, Issey memaklumkan tidak sempat bertemu dengan mangsa kejadian memandangkan kanak-kanak perempuan itu telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Manakala, pemandu kereta tersebut juga sudah membuat permohonan maaf terhadapnya susulan kejadian itu.

“Dia sudah minta maaf dan rasa sangat bersalah kerana kejadian itu melibatkan ramai mangsa.

“Tujuan saya kongsi pun sekadar untuk kesedaran orang ramai agar ia tidak berulang lagi,” ujarnya.

Semalam, Kosmo! Online melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilanggar kereta mengundur dalam keadaan laju apabila pemandunya tertekan pedal minyak secara mendadak di Jalan Eco Grandeur 1/8, Bandar Puncak Alam.

Kanak-kanak yang mengalami kecederaan ringan dan calar di muka itu kemudian dibawa ke Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam bagi mendapatkan rawatan lanjut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok