Tak hamil, saya buncit – Janna Nick

“SAYA tak hamil, saya buncit.”

Demikian seloroh pelakon dan penyanyi, Janna Nick membalas pertanyaan netizen berkenaan perubahan fizikalnya yang didakwa seperti berbadan dua.

Perkara itu dikongsikan Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 30, menerusi video yang dirakamkan di gimnasium bersama suaminya, Dini Schatzmann.

Menerusi kapsyen video berkenaan, Janna berharap penjelasannya dapat menjawab semua komen netizen yang masih salah faham dan tertanya-tanya tentang keadaan fizikalnya.

Malah selebriti yang menetap di London sejak September lalu bagi menyambung pengajian hanya meminta orang ramai terus mendoakan mereka dikurniakan zuriat.

Menyemak ruangan komen dalam Instagram, ramai pengikut menitipkan kata-kata semangat terhadapnya dan suami.

“Semoga segera dikurniakan zuriat soleh dan solehah secepat mungkin,” tulis netizen.

“Kita doakan semoga Allah hadirkan zuriat ke dalam rahim Janna. Amin,” kata seorang pengikut lain.

Ini bukan kali pertama pengacara popular itu disangka hamil tetapi dia menjelaskan berat badannya naik berikutan rawatan kesuburan yang dijalani.

Dua kali menjalani suntikan hormon iaitu tiga bulan sebelum terbang ke United Kingdom turut membuatkan wajahnya menjadi sembab.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada Jun 2023 itu sememangnya berharap dikurniakan cahaya mata dalam tempoh terdekat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok