‘Terima mahkota selepas 30 tahun, dapat jadi tatapan anak cucu’

SELEPAS 30 tahun, akhirnya juara Pencarian Dewi Remaja 95/96 iaitu Wan Khatijah dapat membawa pulang mahkota kemenangannya.

Mahkota itu diserahkan kepadanya oleh ketua pengarang majalah Remaja, Faiz Aiman Mazlan, di majlis Watch Party Episod Akhir Dewi Remaja 2025 di sini, hari ini.

Menurut Wan Khatijah atau nama lengkapnya, Wan Khatijah Wan Othman, 49, dia hanya berpeluang memakai mahkota itu sebanyak dua kali iaitu pada hari kemenangan dan ketika penggambaran kulit majalah Remaja selepas kemenangannya.

“Ramai yang tak tahu kisah ini. Mahkota kemenangan saya ditaja oleh penaja pada tahun itu dan saya perlu pulangkan semula selepas tamat pertandingan.

“Terima kasih kerana memberikan mahkota ini kepada saya selepas 30 tahun. Sekurang-kurangnya dapat jadi tatapan buat anak cucu saya nanti,” katanya.

Namun kata pelakon filem Mami Jarum Junior itu, bukan mahkota yang menjadi keutamaan tetapi pengalaman dan kenangan ketika menyertai pertandingan Dewi Remaja tiga dekad lalu yang tersemat dalam hatinya buat selamanya.

Wan Khatijah merupakan antara pemenang Dewi Remaja yang diundang ke acara Watch Party Episod Akhir Dewi Remaja 2025 sempena ulangtahun ke-40 pertandingan yang telah banyak melahirkan bintang ternama tanah air itu.

Selain Wan Khatijah, majlis tersebut turut dihadiri alumni Dewi Remaja dan Hero Remaja yang lain seperti Azah Aziz, Pushpa Narayan, Mawar Rashid, Arena Wan dan Evertts Gomes. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok