USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Vida mengakui hatinya luluh selepas membaca luahan mendalam anaknya, Cik B, mengenai hubungan mereka yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Ujar Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 54, dia langsung tidak menyangka anak gadisnya itu memilih untuk berkongsi perasaan sedemikian secara terbuka, apatah lagi menyentuh soal imej dan perbandingan diri.
“Sebenarnya saya tengok perkongsian Cik B selepas tular. Saya tak sangka dia buat perkongsian begitu. Dia betul-betul rasa dirinya tak cantik sebab dia selalu cakap kepada saya, dia tak boleh jadi anak mama seperti yang mama harapkan.
Saya tak sangka dia luah semua itu di media sosial. Saya selalu tanya, ‘sayang mama tak?’ Dia jawab sayang. Dia kata dia harap boleh jadi anak perempuan seperti saya mahukan, tapi dia tak mampu,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu I Am Me itu, perubahan positif yang ditunjukkan Cik B kebelakangan ini membuatkan dirinya sedar anaknya sedang belajar menerima diri sendiri sedikit demi sedikit.
“Tapi saya nampak dia banyak berubah sekarang. Dulu dia tak bersolek, tak pakai pencuci muka.
Sekarang dia jaga muka, nampak bersih. Dulu penampilan dia ‘tomboy’, sebab dia selesa dan mudah,” dedahnya pada majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular Ke-37 (ABP37), kelmarin.
Paling penting kata Vida, kasih sayangnya terhadap Cik B tidak pernah berkurang, malah sentiasa menerima anaknya itu seadanya tanpa syarat.
“Insya-Allah dalam kehidupan lain, Cik B akan jadi bidadari yang cantik. Apa pun saya sentiasa mahu terbaik untuk dia.
Saya simpan kesedihan saya, saya tak tunjuk sebab saya tahu dia ‘struggle’ untuk jadi anak perempuan yang kelihatan ‘girlish’.
“Saya terima dia seadanya. Saya sayang dia. Apa pun, Cik B tetap anak mama paling hebat,” ujarnya.
Terdahulu, luahan Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, 20, dalam TikTok menyentuh hati ramai selepas dia menulis kapsyen penuh emosi mengenai hubungannya dengan Vida.
Dalam kehidupan lain, saya akan menjadi anak perempuan ‘girly’ seperti impian mama. Tetapi buat masa ini, saya memilih untuk melindunginya,” tulisnya dalam video tersebut.
Perkongsian itu tular susulan video memaparkan Vida dan pempengaruh media sosial, Kasih Iris Leona berpelukan sambil menari ketika muncul sebagai artis undangan konsert GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil. – HIBGLAM
