MENGINTAI peluang membina nama di Hollywood, pelakon Meerqeen memaklumkan perkara tersebut hanyalah gurauan bersama rakan-rakan.
Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, tidak menolak sekiranya dapat melebarkan sayap di Hollywood yang sememangnya menjadi impian ramai pelakon.
Mana ada saya nak pergi Hollywood, siapa cakap? Yang telefon saya itu Fazziq dan cuma gurauan dengan kawan-kawan.
“Tapi kalau ada rezeki sudah pasti saya akan pergi. Itu impian semua pelakon, kalau ada insha-Allah.
“Buat masa sekarang itu hanyalah gurauan,” katanya kepada HibGlam pada tayangan perdana filem Klepet, semalam.
Selain itu, pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu turut menjelaskan keputusannya ‘menghilang’ dari media sosial hanyalah strategi bagi memberikan kejutan kepada peminat melalui projek lakonan terbaharu.
“Untuk persiapan filem seterusnya, banyak yang saya tengah ‘prep’ sekarang tapi bukan Hollywood.
Saya diam dan tak berkongsi dalam media sosial bukan kerana mahu menjauhkan diri atau apa.
“Cuma saya nak orang nampak perubahan diri saya sewaktu memainkan watak untuk projek seterusnya sahaja. Saya nak bagi kejutan buat peminat saya,” tambahnya.
Sebelum ini, Meerqeen pernah menyuarakan keinginan membina nama di Hollywood selepas menembusi pasaran Indonesia.
Keputusan berehat dari media sosial kemudiannya mencetus spekulasi bahawa dia menerima tawaran ke sana.
Dalam perkembangan lain, Meerqeen membintangi filem Klepet yang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 27 November depan, dengan sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Selain Meerqeen, filem tersebut turut dibintangi pelakon Aedy Ashraf, Nadhir Nasar, Aeril Zafrel, Joey Daud dan Eric Fuzi. – HIBGLAM
