PELAKON Ellie Suriaty terpaksa menahan sakit apabila berdepan masalah dislokasi tempurung lutut kiri gara-gara terlalu memaksa diri bersenam di gim.
Menurut Ellie atau nama sebenarnya, Ellie Suriaty Omar, 54, dia enggan melakukan pembedahan sebaliknya memilih cara alternatif dengan berurut dan melakukan fisio untuk pemulihan.
“Puncanya dua bulan lalu, saya kerja tanpa henti jadi apabila cuti mahu gantilah senaman yang tertinggal.
“Tidak sangka semasa buat senaman kaki, saya tertolak kaki dengan kuat menyebabkan tempurung lutut saya terkehel (dislokasi).
Memang sangat sakit, tetapi saya tidak mahu pilih pembedahan kerana proses pemulihannya memakan masa lebih lama. Saya pula ada kerja, jadi saya pilih cara berurut dan fisio,” katanya.
Ellie bagaimanapun bersyukur kecederaan itu tidak menganggu pergerakkan dan kerjanya sebagai pelakon.
Namun, kesilapannya memakai kasut bertumit pada malam Festifal Filem Malaysia (FFM) baru-baru ini menyebabkan lututnya yang hampir pulih kembali sakit.
“Mula-mula kena sakit sangat tetapi selepas buat rawatan berurut semakin baik, saya pun boleh berjalan dan berlakon seperti biasa.
Cuma silapnya ketika malam FFM saya pakai kasut bertumit, saya tidak tahu sebenarnya langsung tidak boleh pakai kerana kasut seperti itu memberi tekanan kepada lutut.
“Akhirnya saya terpaksa menelan ubat tahan sakit untuk terus berada di FFM. Walhal sudah hampir baik,” kata Ellie ketika ditemui pada penggambaran filem Sumpahan Nilam Utama di UKM, Bangi, semalam.
Dalam pada itu, Ellie bersyukur watak lakonannya sebagai guru dalam filem itu memerlukan dia menggunakan tongkat.
“Sebagai guru saya perlu pakai tongkat untuk menunjukkan kewibawaan dan tidak secara langsung membantu juga pergerakkan saya ketika lutut sedang sakit,” ujar Ellie. – HIBGLAM
