‘Lima bulan selepas kahwin hubungan kami tak okey, sangat perit’

SELEPAS mengesahkan sudah bercerai, penyanyi Amylea Azizan mendedahkan rumah tangganya bersama bekas suami iaitu Mohammad Aqbar Mohamad berdepan masalah sejak lima bulan mereka diijab kabul.

Sepanjang melalui pergolakan rumah tangga, Amylea, 38, mengakui perkara itu memberi kesan kepada kestabilan emosinya, namun dia memilih untuk fokus terhadap kerja sehingga mampu bangkit dan menjadi lebih kuat.

Sebenarnya lima bulan selepas kami berkahwin hubungan dah tak berapa okey. Saya ada dua talak, yang pertama pada Januari awal tahun dan talak kedua dua bulan selepas itu, memang sudah lama.

“Memang saya melalui situasi yang agak sukar bagi saya sepanjang tahun lalu tapi Tuhan bagi kita ujian.

“Pada masa sama, Tuhan juga bagi jalan untuk keluar dan bila kita kerja, kita dapat ‘distract’ (alih perhatian) diri kita daripada benda-benda itu, secara automatiknya jadi kuat,” katanya kepada  HibGlam pada majlis pelancaran pusat rawatan premium, Aluna Signature Bangsar, baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, pelantun lagu Tak Pernah Hilang itu berusaha menjadi isteri terbaik memandangkan hasratnya untuk mempunyai sebuah keluarga harmoni.

Saya tak pernah tinggi suara kepada dia. Saya memang mahu menjadi seorang isteri dan menantu yang baik. Saya betul-betul berusaha sehabis baik.

“Saya hanya mahu kehidupan yang sederhana, menjadi seorang isteri. Itu sebenarnya salah satu impian terbesar saya tetapi perkara itu tidak menjadi,” katanya lagi.

Pada masa sama, dia tidak berniat menyembunyikan masalah rumah tangganya, sebaliknya masih berusaha menyelamatkan perkahwinan yang dibina pada November 2023.

“Saya juga bukanlah berniat nak sembunyikan daripada media tapi saya rasa bila kita bersuara dalam keadaan sedih atau marah, kita mungkin akan terlebih kongsi atau cakap benda yang tak sepatutnya sampai menyesal.

Jadi selepas saya betul-betul ‘move on’, baru saya umumkan perceraian saya. Saya habis idah dah lama tapi baru umum.

“Saya tak nak kongsikan pada awalnya sebab menjaga hubungan dengan ibu mertua dan anak tiri sebab saya sangat baik dengan mereka jadi tak mahu mereka tersinggung,” jelasnya.

Malah, penulis lagu Seribu Tahun Lagi itu turut menceritakan cabaran emosi yang ditanggung dalam diam ketika rumah tangganya bergolak.

“Semakin besar cabaran yang saya lalui, semakin banyak Allah berikan saya rezeki. Rasa nak mengeluh pun tak boleh tapi saya sebenarnya sangat tertekan, memang sangat memeritkan.

Bila pergi ‘shooting’, saya kena jadualkan waktu menangis supaya orang tak nampak mata saya bengkak dalam kamera.

“Bila orang tanya, apa khabar, jawab saja okey. Padahal sebenarnya saya tak okey, saya lalui derita saya seorang diri,” kongsinya.

Pada Oktober lalu, Amylea mengesahkan rumah tangganya sudah berakhir selepas tiga tahun hidup bersama.

Amylea mendirikan rumah tangga dengan Aqbar atau lebih dikenali sebagai Ash pada 27 November 2023. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok