WUJUD salah faham, pelakon Anna Jobling menafikan dakwaan segelintir pihak yang menganggap dirinya kini sudah berubah selain bersikap sombong dengan khalayak selepas namanya semakin meledak di negara seberang.
Ujar Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, tanggapan tersebut timbul akibat salah faham terhadap ekspresi wajahnya, sedangkan dia sebenarnya seorang yang mudah mesra serta tidak pernah meninggi diri.
“Mereka kata saya ada ‘muka hantu’, tapi saya anggap itu pujian. Kadang-kadang bila saya tak senyum, orang fikir saya sombong.
“Tapi sebenarnya tidak, mungkin sebab ekspresi muka saya saja. Kalau jumpa saya, tegurlah, saya okey saja.
“Mungkin ada salah faham sedikit, tapi saya memang sayang peminat saya dan semua orang, tegur je, saya tak sombong,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas tentang kerjayanya, pelakon filem Sukma itu mengakui jadualnya kini padat selepas menerima pelbagai tawaran lakonan malah terpaksa menangguhkan waktu rehat demi menghargai setiap peluang yang datang.
“Rasa sayang nak lepaskan, jadi rehat pun tangguh dulu. Saya masih muda, ada tenaga, jadi ambil saja kerja,” ujarnya.
Biarpun mengakui adakalanya berasa penat, Anna tetap melihat semua rezeki yang diterima sebagai satu tanggungjawab dan amanah untuk dilakukan sebaik mungkin.
“Pernah juga terbawa emosi di luar set sebab terlalu letih, tapi saya ingatkan diri, walau penat macam mana pun tetap kena bersyukur.
“Ada juga orang cakap kenapa saya dapat ini, kenapa muka saya saja, tapi bagi saya itu semua rezeki masing-masing.
“Saya tak pernah rasa iri hati dengan orang lain sebab saya percaya rezeki saya takkan ke mana,” luahnya.
Terdahulu, tular dalam media sosial apabila ada peminat mendakwa bekas peserta Dewi Remaja itu tidak lagi ramah dan tidak membalas sapaan peminat ketika bertemu di kawasan publik. – HIBGLAM.
