Alami akut gunung, Azhan Rani muntah, kebas tangan

AKTOR, Azhan Rani hampir dibawa turun daripada meneruskan pendakian di Gunung Kinabalu selepas mengalami Akut Gunung atau Acute Mountain Sickness (AMS).

Menurutnya, itu merupakan kali pertama dia mendapat simptom berkenaan walaupun sudah tiga kali menakluk gunung tertinggi di asia itu sebelum ini.

“Kali ini saya diserang simptom Acute Mountain Sickness membuatkan saya muntah-muntah, tangan jadi kebas walaupun sudah pakai tiga lapis sarung tangan.

“Mereka dah siap nak bawa saya turun. Tapi saya baring, tidur sekejap, kemudian barulah saya kembali meneruskan pendakian,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media dan tayangan perdana filem Tebus baru-baru ini.

KURANG rehat dan latihan menjadi punca mengapa Azhan mengalami masalah akut gunung.

Bercerita lanjut mengenai misi menakluk Gunung Kinabalu buat kali keempat itu, Azhan mengakui kurang latihan dan tidak mendapatkan rehat yang cukup menjadi faktor pelakon drama Nur itu ‘pancit’ di tengah pendakian.

“Stamina saya tidak kuat berbanding orang lain. Saya tak cukup rehat kerana menjaga emak dan melakukan penggambaran. Malah, Kerana urusan kerja, saya juga tak dapat mengikuti sesi latihan bersama pasukan.

“Semua sukan ada risiko tapi kena tahu dengan pasukan mana kita pergi. Kena ada ilmu,” katanya.

Bagaimanapun, Azhan Rani merancang untuk mendaki puncak Gunung Island di Nepal dengan ketinggian 6189 meter dari aras laut pada Februari tahun hadapan.

Dalam perkembangan lain, Azhan Rani beraksi dalam filem terbaharu platform penstriman over the top Amerika Syarikat, iaitu Prime Video bertajuk Tebus.

Membawakan watak antagonis bernama Bakar, katanya, Tebus menceritakan bagaimana kaedah pemindahan jantung boleh dilakukan menerusi pasaran gelap.

“Banyak tawaran filem yang saya dapat kebanyakkannya watak penjahat. Saya kena jalankan tanggungjawab itu kerana pengarah percayakan saya.

“Namun, jika diberi peluang saya ingin cuba benda lain dengan karakter yang berbeza,” tambahnya.

Selain Azhan, Tebus turut dibintangi Aedy Ashraf, Ahirine dan Idan Aedan. – SUMBER UTUSAN MALAYSIA

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Azhan Rani (@azhan_rani)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok